Kerajaan pastikan bekalan asas kekal terjamin, kurangkan impak lonjakan kos kepada rakyat

Kerajaan MADANI terus berusaha menguruskan krisis rantaian bekalan, bahan mentah dan kos sara hidup yang kian meruncing di seluruh dunia susulan konflik di Asia Barat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diberi perhatian serius dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini.

PMX mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bil.8/2026 hari ini.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat berkenaan membincangkan secara terperinci pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan kestabilan bekalan asas negara, di samping mengurangkan impak lonjakan kos terhadap rakyat.

“Keutamaan kerajaan bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas terus terjamin serta mengurangkan kesan kenaikan kos mendadak kepada rakyat.

“Kerajaan mengurus situasi tersebut berpandukan data, libat urus bersama industri serta tindakan segera di lapangan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau.

Perdana Menteri berkata, MTEN memberi tumpuan kepada lima keutamaan utama iaitu menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos kepada rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan dan pendapatan isi rumah serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.

Beliau memaklumkan dalam mesyuarat sama, MTEN turut meneliti pembentangan Khazanah Nasional Berhad berhubung implikasi krisis bekalan global yang kini mempengaruhi pertimbangan pelabur, khususnya dari aspek kestabilan tenaga, akses bahan mentah dan keupayaan negara mendepani kejutan ekonomi.

Menteri Kewangan itu berkata, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berdepan cabaran semasa, namun kekuatan itu perlu diterjemahkan menerusi tindakan tegas, tersusun dan berkesan.

Beliau menegaskan, dengan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terus diperkasa, kerajaan komited memastikan negara kekal stabil, rakyat dilindungi serta ekonomi negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

BACA JUGA Selepas tarik sokongan terhadap MB, UMNO Negeri Sembilan mohon menghadap Tuanku Muhriz