PH kecam cubaan 14 Adun UMNO Negeri Sembilan ‘tebuk atap’ ketika negara berdepan kemelut bekalan global
Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal di atas tindakan kesemua 14 ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, semalam.
Pengarah Komunikasinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias itu jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
“Pakatan Harapan menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO BN Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar.
“Tindakan UMNO BN Negeri Sembilan ini telah dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat,” tegas Fahmi dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Namun, Aminuddin berkata, beliau dititahkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, PH memberi komitmen bahawa, seperti yang telah disembah maklum oleh Pengerusi PH kepada Tuanku Muhriz, pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar berjalan seperti biasa.
“Pakatan Harapan akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan Kerajaan Negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.
“Pakatan Harapan juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu,” kata Menteri Komunikasi itu lagi.
BACA JUGA Kerajaan pastikan bekalan asas kekal terjamin, kurangkan impak lonjakan kos kepada rakyat