‘Kerat’ jangan tak ‘kerat’!, netizen sakan teka ‘signal’ politik PM gunting rambut

Gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menggunting rambut di sebuah premis, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya ketika isu politik di Negeri Sembilan sedang hangat diperkatakan.

Dalam suasana politik yang penuh teka-teki ekoran tindakan mengejut Pengerusi UMNO Negeri Sembilan (NS), Datuk Seri Jalaluddin Alias dan konco-konconya, foto santai yang dikongsi di media sosial rasmi Anwar semalam pantas menjadi perhatian ramai.

Sebahagian pengguna media sosial cuba ‘membaca’ mesej tersirat di sebalik perkongsian gambar tersebut manakala ada yang berpendapat ia hanya aktiviti biasa seorang pemimpin meluangkan masa untuk diri sendiri.

Lebih menarik, seorang pengguna media sosial, Ahmad Uzair, berseloroh dengan mengimbau kembali detik lama.

“Dulu beliau kongsi gambar sedang gunting rambut, naik jadi PM lepas tu. Kali ini, nak buat surprise apa pulak,” katanya diakhiri emoji ketawa.

Tidak kurang juga yang memuji Perdana Menteri sebagai pemimpin yang tenang dalam menangani kerenah rakan mahu pun lawan politik serta menangani impak krisis tenaga global.

Antaranya, Muhammad Mas’ab yang berkata, “Sabar dan tenang, itulah antara sikap PMX yang paling tinggi dan kuat”.

Dalam masa sama, ramai juga cuba ‘merungkaikan’ maksud tersirat yang cuba disampaikan dengan kemungkinan Perdana Menteri akan ‘mengerat’ pihak yang telah mengkhianati Kerajaan Perpaduan.

“Steady PMX. Kita kasi potong… dalam PRU16 nanti.

“PMX gunting rambut… gunting di tangan… gunting dalam lipatan.. ok faham.

“Lepas gunting rambut kita gunting…

‘Kerat’ jangan tak ‘kerat’!” demikian antara komentar dan sindiran warganet.

BACA JUGA Jalaluddin nak persembah majoriti kepada siapa? Ini kuasa sebenar Dato’ Undang dalam krisis N9