Minyak tanpa subsidi naik, bersubsidi kekal, bekalan terjamin
Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengambil pendekatan berimbang dalam menangani kenaikan harga minyak global dengan memastikan kebajikan rakyat kekal terpelihara.
Kementerian Kewangan Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan harga RON95 tanpa subsidi dan RON97 bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026 adalah selaras dengan perkembangan pasaran petroleum antarabangsa yang masih tidak menentu akibat krisis di Asia Barat.
Harga RON97 ditetapkan pada RM4.90 seliter (naik 5 sen), manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.97 seliter (naik 10 sen). Diesel di Semenanjung pula kekal pada RM5.12 seliter.
Namun begitu, kerajaan mengekalkan perlindungan kepada majoriti rakyat melalui harga bersubsidi yang tidak berubah, termasuk RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengimbangi realiti pasaran global dengan keperluan domestik, agar rakyat tidak menanggung sepenuhnya tekanan kenaikan harga minyak dunia.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara kekal mencukupi walaupun berdepan gangguan rantaian global, termasuk kerosakan kemudahan pengeluaran di Asia Barat.
Kerajaan turut menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat sebagai usaha bersama mengekalkan kestabilan ekonomi negara.
BACA JUGA AMK N9 : Hentikan eksperimen politik, rakyat bukan bahan uji kaji