Dah tikam belakang baru ajak bincang? Faiz gesa Umno ambil tindakan tegas 14 ADUN khianat
AMANAH menyifatkan cadangan supaya diadakan perbincangan antara Biro Politik Umno dan Biro Politik Pakatan Harapan sebagai tidak munasabah, berikutan tindakan 14 ADUN Umno Negeri Sembilan yang terlebih dahulu bertindak menikam rakan gabungan di belakang.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, perbincangan yang dicadangkan sepatutnya diadakan sebelum tindakan berunsur khianat dan tebuk atap dilakukan oleh 14 ADUN Umno tersebut.
Faiz turut menyinggung bagaimana wakil-wakil rakyat Umno memulakan hubungan dengan 5 ADUN Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.
Perbuatan itu tegas beliau, tidak boleh ditafsirkan selain dari tindakan khianat dan berniat jahat walaupun telah ada “Perjanjian Persefahaman”.
“AMANAH mengesyorkan kenyataan tarik sokongan terhadap Menteri Besar oleh 14 ADUN Umno Negeri Sembilan dikutuk dan diarah untuk ditarik balik.
“Mereka yang terlibat perlu diberi amaran keras oleh Umno supaya tindakan sebegini tidak diulangi pada masa-masa akan datang oleh mana-mana pihak.
“Perlu diingatkan bahawa perbezaan pendapat boleh wujud dan sekiranya ingin dizahirkan sekalipun, masih boleh diterima.
“Akan tetapi tindakan tarik sokongan demi menjatuhkan kerajaan bersama adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dipandang remeh,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut Faiz berkata, terma hilang sokongan kepada Menteri Besar adalah sama nilainya dengan hilang sokongan kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
Justeru kata beliau, sekiranya semua tindakan di atas dilakukan, barulah cadangan pertemuan boleh diambil serius dan dipertimbangkan.
“Seharusnya Umno mematuhi titah Yang Di Pertuan Besar bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
“AMANAH mengajak Umno untuk terus bergerak ke hadapan dan mengukuhkan gabungan perpaduan serta bersama Pakatan Harapan menguruskan negara dengan baik supaya ekonomi Malaysia kekal stabil dalam keadaan ekonomi global yang sedang meruncing,” tambahnya lagi.
BACA JUGA DAP sambut baik keputusan Umno – Negeri Sembilan ‘panas’ tapi tak tumbang