Tular wanita maut terjun dari balkoni Aras 3 KLIA Terminal 2, rupanya warga China

Tular klip video memaparkan seorang wanita maut selepas terjun dari kawasan luar balkoni Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, jam 2.20 petang semalam.

Wanita warganegara China berusia 27 tahun itu mulanya dilihat sedang duduk di kawasan luar balkoni tersebut dalam keadaan menangis dan menjerit secara agresif.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi, berkata, semakan mendapati wanita terbabit dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China pada hari ini.

Pada hari kejadian, jelasnya, petugas dan pegawai keselamatan cuba menenangkan wanita terbabit.

Walau bagaimanapun, katanya, cubaan itu gagal sehingga seorang anggota keselamatan KLIA cuba mendekati untuk menyelamatkannya.

“Namun, wanita terbabit bertindak meronta dan terjun ke kawasan Loading Bay KLIA2,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian memberi rawatan kecemasan dan wanita berkenaan dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut.

Jelasnya, kira-kira jam 5 petang, pihak Hospital Putrajaya mengesahkan wanita terbabit sudah meninggal dunia.

“Punca kejadian masih lagi didalam siasatan polis. Siasatan dijalankan mengikut Prosedur Kematian Mangejut (SDR),” kata beliau lagi.

BACA JUGA Lega! Akhirnya 10 aktivis Malaysia GSF 2.0 dijadual terbang ke Istanbul