Nafi tebuk atap tapi Umno Negeri Sembilan rela jadi pembangkang
UMNO Negeri Sembilan menegaskan, parti itu tidak bertindak tebuk atap susulan keputusan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata jika Umno mahu tebuk atap, parti itu telah lama berbuat demikian.
“Rakan-rakan ADUN di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.
“Kalau Umno mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi Umno memilih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Jalaluddin berkata demikian ketika berucap di Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Adun Pertang itu berkata, krisis di Negeri Sembilan pada masa ini muncul selepas Umno hilang keyakinan terhadap Menteri Besar.
“Krisis hari ini hanya timbul setelah Umno hilang keyakinan terhadap Menteri Besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib,” dakwanya.
Sehubungan itu, Jalaluddin menegaskan bahawa Umno Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada berada dalam kerajaan dan melihat sahaja “kesilapan yang dilakukan oleh YAB Menteri Besar.”
Dalam masa sama, katanya, Umno Negeri Sembilan kini fokus untuk memperkukuhkan akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Matlamat utama yang harus difikirkan adalah Umno memenangi kerusi sebanyak mungkin dan kembali menjadi dominan,” ujarnya.
Tambahnya, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Namun sebagai seorang ketua, saya bertanggungjawab membawa anak-anak buah saya di landasan perjuangan yang sebenar.
“Selagimana YAB Presiden memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Umno Negeri Sembilan, saya akan lakukan yang terbaik,” kata Jalaluddin lagi.
BACA JUGA Kes gadis maut dengan 61 kesan tikaman: 2 warga emas direman 3 hari, 2 remaja pula seminggu