BN nak solo PRU16? AMK kata tak gentar

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kemungkinan Barisan Nasional (BN) bergerak solo dalam PRU16 sebagai tanda dilema dalaman gabungan itu, sambil menegaskan jentera Pakatan Harapan (PH) sudah bersiap siaga di seluruh negara.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata strategi BN yang dilihat mahu bergerak solo tetapi masih memerlukan persefahaman dengan pihak lain menunjukkan mereka belum benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri.

“Ini bukan ancaman, sebaliknya ruang untuk kita buktikan kekuatan sebenar gerakan reformasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danish, AMK bersama Parti Keadilan Rakyat dan PH kini memperkukuh kesiapsiagaan di semua 222 kerusi Parlimen, dengan fokus kepada kawasan ditandingi PKR.

Katanya, gerak kerja parti tidak bermusim dan telah dilaksanakan lebih awal melalui pendekatan turun padang bersama rakyat.

Beliau turut merujuk pelancaran sistem pengurusan pilihan raya TERAS oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai langkah memperkemas operasi kempen.

Menurutnya, sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu membolehkan kempen dilaksanakan secara lebih tersusun, dipantau dan berstrategi.

Danish berkata naratif BN berkaitan isu Islam, Melayu dan institusi raja bukan perkara baharu kerana semuanya telah termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, katanya, dakwaan kononnya kepentingan Melayu dan Islam terancam di bawah Kerajaan MADANI tidak berasas.

“Sebahagian besar institusi Melayu sendiri turut dianggotai pemimpin Umno dalam kerajaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kekuatan PH ketika ini bersandarkan prestasi pentadbiran di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang menurutnya menunjukkan tadbir urus berintegriti dan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Menurutnya, PRU16 akan menjadi medan kepada rakyat untuk memilih antara politik lama atau kepimpinan berasaskan prestasi.

“Kita bersedia, tersusun dan tidak gentar,” katanya.

BACA JUGA Zahid : Tak pernah timbul nak jadi pembangkang