Guna AI untuk PRU? ‘Teras’ bantu PKR menang pilihan raya?
PKR kini beralih ke pendekatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) apabila melancarkan sistem kempen pilihan raya bersepadu ‘Teras’ bagi memperkemas strategi dan operasi parti menjelang pilihan raya.
Sistem itu diilhamkan Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar dan dibangunkan sebagai platform berasaskan data yang merangkumi keseluruhan ekosistem kempen daripada pengurusan data pengundi hingga pelaksanaan gerak kerja lapangan serta komunikasi bersasar.
Menurut parti itu, ‘Teras’ bukan sekadar alat kempen sementara, sebaliknya direka sebagai sistem institusi jangka panjang yang kekal relevan merentasi perubahan kepimpinan.
“Teras merupakan sumbangan penting kepada masa depan PKR, memastikan kekuatan organisasi parti, aset data dan keupayaan strategiknya terus berkembang dari generasi ke generasi,” menurut kenyataan itu.
PKR memaklumkan ujian perintis di dua lokasi bulan lalu menunjukkan sistem itu berupaya memetakan sentimen pengundi dengan berkesan, walaupun masih memerlukan penambahbaikan termasuk dari segi pengesahan data automatik.
Sistem itu juga dilaporkan mempunyai kadar respons tinggi terhadap isu teknikal, sekali gus membolehkan pengurus kempen memberi tumpuan kepada strategi dan operasi lapangan berbanding urusan pentadbiran.
Menurut parti, integrasi teknologi dan AI dalam ‘Teras’ membolehkan pendekatan kempen lebih tersusun, responsif dan berasaskan data.
Namun, mereka mengingatkan bahawa kejayaan politik tetap bergantung kepada penerimaan rakyat serta keupayaan parti memahami isu sebenar di lapangan.
Dalam masa sama, PKR menegaskan pencapaian ‘Objektif Latihan Minimum’ penting bagi memastikan sistem itu boleh digunakan secara meluas oleh jentera akar umbi tanpa memerlukan kepakaran teknikal tinggi.
Pelancaran ‘Teras’ dilihat sebagai langkah parti itu memperkukuh kesiapsiagaan dengan menggabungkan teknologi, data dan kekuatan organisasi bagi menghadapi cabaran politik masa depan.
BACA JUGA Jangan tunggu mangsa seterusnya, henti segera keganasan terhadap wanita