KKM tubuh petugas khas, tangani isu tak cukup doktor
Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas antara kementerian bagi menangani isu kekurangan doktor dan pakar, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Menurutnya, kekurangan tenaga perubatan serta agihan tidak seimbang kekal menjadi cabaran besar yang tidak boleh ditangani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja.
“Ia memerlukan pendekatan menyeluruh merentas kementerian dan agensi,” katanya kepada pemberita di Sandakan.
Dzulkefly berkata, antara langkah awal termasuk menambah penempatan doktor muda di Sabah, dengan 42 pegawai perubatan siswazah baharu ditempatkan di Hospital Duchess of Kent, di mana 70 peratus daripadanya merupakan anak tempatan.
Beliau menegaskan usaha itu perlu diperluaskan memandangkan cabaran menarik pegawai perubatan ke Sabah masih tinggi.
Sebelum ini, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki memaklumkan hanya 2,884 doktor berkhidmat di negeri itu ketika ini, jauh daripada anggaran keperluan sekitar 9,000 orang.
Dalam masa sama, Dzulkefly berkata KKM turut memperkukuh laluan latihan kepakaran termasuk program sarjana tempatan bagi menambah bekalan doktor pakar.
Beliau turut menegaskan keperluan meneruskan penawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak, khususnya bagi mereka yang sanggup berkhidmat di kawasan kritikal.
Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian usaha jangka panjang kerajaan untuk menstabilkan sistem kesihatan awam serta memastikan akses rawatan lebih seimbang di seluruh negara.
BACA JUGA Jangan tunggu mangsa seterusnya, henti segera keganasan terhadap wanita