SSO MyJPJ lancar, 7 juta pengguna dah guna
Pelaksanaan sistem log masuk tunggal (SSO) bagi aplikasi MyJPJ dilaporkan berjalan lancar tanpa gangguan sejak dikuatkuasakan semalam.
Menurut MyDigital ID, integrasi sistem itu kini stabil dan membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan dengan lebih mudah serta selamat melalui satu identiti digital.
Kenyataan itu memaklumkan sehingga kini, kira-kira tujuh juta pengguna MyJPJ telah menggunakan log masuk melalui MyDigital ID, daripada keseluruhan 12 juta pengguna platform tersebut.
“Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai kata laluan sekali gus membantu mengekang risiko pencerobohan akaun dan penipuan digital,” menurut kenyataan itu.
MyDigital ID menjelaskan penggunaan satu identiti digital yang disahkan berdasarkan rekod rasmi kerajaan turut memperkukuh aspek keselamatan siber.
Ia sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti serta meningkatkan kecekapan akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Sehubungan itu, pengguna digalakkan memuat turun serta mengaktifkan MyDigital ID dan memastikan aplikasi MyJPJ berada pada versi terkini bagi menikmati fungsi log masuk tunggal.
Dalam masa sama, MyDigital ID memaklumkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Negara akan terus diperkukuh bagi memastikan sistem kekal selamat, pantas dan mesra pengguna.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital kerajaan yang lebih bersepadu.
BACA JUGA KKM tubuh petugas khas, tangani isu tak cukup doktor