PRU16 mungkin solo, tapi kerajaan perpaduan realiti – Zahid

Presiden Umno menegaskan kemungkinan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam PRU16 tidak menafikan hakikat bahawa kerajaan perpaduan kekal sebagai realiti politik negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata landskap semasa menunjukkan sukar untuk mana-mana parti atau gabungan muncul dominan bagi membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Saya tidak nampak dalam PRU16 ada mana-mana parti yang dominan dan boleh membentuk kerajaan sendiri. Itu hakikat yang harus kita akui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas sempena sambutan ulang tahun Umno ke-80.

Zahid, yang juga Pengerusi BN, tidak menolak kemungkinan parti itu bergerak secara solo dalam pilihan raya akan datang, namun menegaskan ruang kerjasama tetap diperlukan bagi mengelakkan pertindihan kerusi.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan bermaksud menolak rakan dalam kerajaan perpaduan, sebaliknya menyesuaikan strategi dengan realiti politik semasa.

“Kita boleh pergi solo, tetapi dalam masa sama perlu ada persefahaman supaya tidak berlaku pertembungan,” katanya.

Beliau berkata pengalaman Parlimen tergantung selepas PRU15 membuktikan pembentukan kerajaan perpaduan bukan pilihan sementara, tetapi keperluan bagi menjamin kestabilan negara.

Katanya, situasi serupa berkemungkinan berulang dalam PRU16.

Dalam masa sama, Zahid berkata Umno akan menggunakan pendekatan lebih kreatif termasuk komunikasi bukan lisan untuk menarik pengundi muda yang kini menjadi kumpulan majoriti.

Menurutnya, golongan bawah 40 tahun termasuk pengundi Undi18 lebih cenderung menilai calon berbanding parti.

“Mereka tidak memilih parti semata-mata, tetapi siapa yang boleh membawa agenda kepada mereka,” katanya.

Beliau menambah trend pengundian kini berubah apabila pengundi lebih menilai kualiti perkhidmatan dan personaliti calon berbanding latar belakang parti.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Umno menyesuaikan strategi menjelang PRU16 dalam landskap politik yang semakin kompetitif dan tidak menentu.

BACA JUGA Nafi tebuk atap tapi Umno Negeri Sembilan rela jadi pembangkang