Janji PN RM3,000 hanya retorik? Jom tengok rekod MADANI bantu pesawah

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh membidas dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung isu harga lantai padi, dengan menegaskan kerajaan hari ini mempunyai rekod jelas membantu pesawah.

Menurut Ismail, cadangan menaikkan harga lantai padi kepada RM3,000 setiap metrik tan hanyalah janji politik yang tidak pernah dilaksanakan ketika pembangkang berada dalam kerajaan.

“Masa mereka perintah, bukan sahaja RM300 tak naik, RM100 pun tidak pernah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan semasa telah menaikkan harga lantai padi sebanyak dua kali, daripada RM1,200 kepada RM1,300, sebelum meningkat kepada RM1,500.

Katanya, peningkatan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendapatan pesawah secara berperingkat dan berasaskan kemampuan fiskal.

Dalam masa sama, Ismail menjelaskan antara cabaran utama industri padi ketika ini berpunca daripada konsesi lama yang disambung oleh pentadbiran terdahulu.

Menurutnya, keputusan tersebut menyebabkan kerajaan kini terikat dengan struktur pengurusan yang memberi kelebihan kepada pihak swasta.

“Kalau nak kata peladang ditekan, puncanya adalah konsesi yang dibuat ketika mereka memerintah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan dakwaan pembangkang sebagai tidak konsisten, memandangkan ketika berkuasa mereka bukan sahaja gagal melaksanakan reformasi, malah meneruskan dasar sedia ada.

Ismail berkata rakyat perlu menilai rekod sebenar pentadbiran, bukan sekadar janji menjelang pilihan raya.

Menurutnya, pendekatan kerajaan kini lebih realistik dengan menyeimbangkan kebajikan pesawah dan kestabilan keseluruhan industri padi negara.

BACA JUGA Muda lagi, Undang Luak Sungai Ujong ke-11 ini bukan calang-calang