RON95 tanpa subsidi dan diesel naik lima sen, harga RON97 kekal

Harga runcit RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing naik lima sen bagi tempoh 7 hingga 13 Mei ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan Harga RON97 pula kekal RM4.90 seliter.

Menurutnya, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM4.02 seliter berbanding RM3.97 seliter sebelum ini.

Sementara itu, harga diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM5.17 seliter berbanding RM5.12 seliter minggu lalu.

Bagi tempoh sama, kerajaan turut mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.

Ia meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

MOF turut memaklumkan pelarasan harga itu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.

“Harga petroleum masih kekal tinggi, melebihi USD100 setong, berikutan ketiadaan penyelesaian terhadap konflik di Asia Barat.

“Keadaan ini turut menjurus kepada kekangan bekalan minyak mentah dan produk petroleum global, yang semakin meruncing akibat kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau tersebut,” menurut kenyataan MOF hari ini.

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara.

BACA JUGA Umno Negeri Sembilan sokong Kerajaan Perpaduan tapi ini pendirian terhadap MB