Umno Negeri Sembilan sokong Kerajaan Perpaduan tapi ini pendirian terhadap MB
Umno Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di negeri itu seperti diputuskan dalam Biro Politik Umno Malaysia dan Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan (PH).
Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Mustapha Nagoor berkata, kesemua 14 Adun Umno Barisan Nasional (BN) juga akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa.

Malah, katanya, terus memberi fokus, memperhebatkan khidmat bakti kepada rakyat dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya dari semasa ke semasa.
Walau bagaimanapun, jelasnya, Umno negeri itu kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dakwanya, Aminuddin gagal menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri itu sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, kata Mustapha, Umno Negeri Sembilan berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di negeri berkenaan pada masa ini akan dapat diselesaikan dengan baik, harmoni dan mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta tatacara adat yang sebenarnya.
“Umno Negeri Sembilan juga menyeru agar rakyat dapat menghormati segala proses yang sedang berlaku, tidak memberikan sebarang komen yang berbentuk provokatif apatah lagi menghina Institusi Adat di Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menegaskan tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan selepas Majlis Perundingan Pimpinan Umno dan PH semalam membuat keputusan untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Pengerusi PH Negeri Sembilan berkenaan berkata, kedudukan kerajaan negeri ketika ini kembali kepada asal iaitu sebelum krisis politik yang berlaku.
Tambah Aminuddin lagi, pada masa ini pula dua pemimpin Bersatu telah menyatakan untuk tidak lagi menyokong langkah 14 ADUN Umno yang menarik sokongan terhadapnya.
BACA JUGA Tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan