Sifatkan khazanah emosi bangsa, AMANAH mahu Jalil Hamid diberi pengiktirafan negara

AMANAH menggesa kerajaan mempertimbangkan satu bentuk pengiktirafan khas negara buat Allahyarham Abdul Jalil Hamid sebagai menghargai jasa besar seniman itu terhadap industri seni dan budaya tanah air.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara kerana beliau bukan sekadar pelakon, tetapi penghibur serba boleh yang dekat dengan jiwa rakyat.

Menurutnya, Allahyarham berjaya meninggalkan kesan mendalam merentasi pelbagai generasi melalui bakat lakonan, nyanyian, komedi dan gaya persembahan yang mempunyai identiti tersendiri.

“Allahyarham bukan hanya dikenali melalui lakonan yang dekat dengan jiwa masyarakat, malah memiliki bakat luar biasa sebagai penyanyi, pelawak dan penghibur,”katanya.

Wan Anwar berkata keupayaan Allahyarham menghidupkan watak, mencuit hati rakyat menerusi humor bersahaja serta menyampaikan lagu dengan penuh emosi menjadikan beliau antara ikon seni yang sukar diganti.

Menurut beliau, tidak ramai anak seni tempatan mempunyai pengaruh yang mampu bertahan merentas zaman seperti Jalil Hamid.

Katanya, banyak karya dan karakter lakonan Allahyarham masih kekal diingati sehingga hari ini kerana lahir daripada bakat tulen, keikhlasan berkarya dan jiwa seni yang dekat dengan masyarakat biasa.

“Pengiktirafan seperti ini bukan sekadar simbol penghormatan kepada individu, tetapi juga mesej bahawa negara menghargai seniman yang telah membentuk memori kolektif rakyat dan memperkayakan identiti budaya Malaysia,” katanya lagi.

AMANAH turut menyifatkan legasi Allahyarham sebagai “khazanah emosi bangsa” dalam dunia yang semakin pantas berubah.

“Beliau bukan sekadar seorang artis, tetapi sebahagian daripada nostalgia rakyat Malaysia, apabila suara, wajah dan jenakanya membesar bersama kehidupan masyarakat,” kata kenyataan itu.

Jalil Hamid disifatkan sebagai antara figura seni yang berjaya menyatukan rakyat melalui karya-karya yang dekat dengan kehidupan harian dan terus dikenang sehingga kini.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar buat negara. Namun karya dan jasanya akan terus hidup dalam ingatan rakyat untuk waktu yang sangat lama,” katanya.

BACA JUGA Dikaitkan dengan wang berbilion?  Farhash nafi dakwaan ada akaun di Turki, mahu saman penyebar fitnah