AMANAH tak akan ketuai kerajaan tebuk atap, Mat Sabu tegas sokong Aminuddin kekal MB

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menolak keras dakwaan kononnya wakil tunggal AMANAH di Negeri Sembilan ditawarkan jawatan Menteri Besar susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.

Beliau menegaskan AMANAH tidak sesekali akan terlibat dalam tindakan menjatuhkan kerajaan yang dipanggil tebuk atap, apatah lagi mengetuai kerajaan yang terbentuk menerusi pendekatan sedemikian.

“Tidak. Kita menentang tebuk atap, takkan AMANAH nak mengepalai kerajaan tebuk atap di Negeri Sembilan,” katanya dalam temubual khas menerusi slot “Tanya Presiden”.

Mohamad turut menegaskan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini kekal Datuk Seri Aminuddin Harun dan tiada sebarang perubahan pendirian daripada AMANAH berhubung perkara itu.

“Menteri Besar sekarang ini ialah Datuk Seri Aminuddin Harun. Tidak ada yang lain melainkan Datuk Seri Aminuddin,” ujarnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkenaan berkata, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH di Negeri Sembilan perlu terus bersama Pakatan Harapan (PH) dalam mempertahankan kepimpinan Aminuddin.

“Wakil rakyat AMANAH yang tunggal itu hendaklah bersama mendukung Datuk Seri Aminuddin daripada PH. Noktah. Tiada lagi hujah yang lain,” tegasnya.

Berkawan betul-betul

Dalam masa sama, Mohamad yang mesra dipanggil Bang Mat turut diminta mengulas soal kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita kalau nak kawan, kita kawan betul-betul. Lebih mudah nak berlawan daripada berkawan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui politik gabungan bukan sesuatu yang mudah, khususnya membabitkan rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sebab itu, kalau nak kawan, kita berjaga-jagalah. Terutamanya paling rumit sekali dalam pilihan raya adalah pembahagian kerusi. Itu mesti ada formula,” ujarnya.

Mohamad berkata, setakat ini isu penggunaan logo dalam pilihan raya akan datang masih belum dibincangkan, namun AMANAH berharap hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dapat diteruskan.

“Buat masa ini, isu nak pakai logo apa belum dibincangkan. Kita harap biar berkawan.

“Kalau dah sampai peringkat nak jadi lawan, itu nak kita buat macam mana, tapi kita cenderung kepada berkawan,” kata beliau lagi.

BACA JUGA ‘Jangan ulangi tebuk atap, tunggulah PRU nak berkawan boleh, nak lawan pun boleh!’