Konflik Asia Barat : MP kerajaan, pembangkang sepakat bersidang rangka strategi
Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Dewan Rakyat sepakat menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen secepat mungkin susulan perkembangan konflik di Asia Barat yang semakin membimbangkan.
Cadangan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan menerima taklimat tertutup daripada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Ekonomi mengenai kesan geopolitik semasa terhadap Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, jawatankuasa tersebut berkata sidang khas Dewan Rakyat perlu diadakan selewat-lewatnya awal Jun depan bagi membolehkan kerajaan menjelaskan pendirian negara serta strategi menghadapi impak konflik serantau itu.
Menurut jawatankuasa itu, situasi di Asia Barat kini bukan lagi isu luar semata-mata kerana ia turut memberi kesan langsung kepada perdagangan, pelaburan, hubungan diplomatik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Dewan Rakyat merupakan medan terbaik untuk membincangkan perkara mustahak ini agar kepentingan rakyat Malaysia dapat dipelihara dan kebimbangan rakyat dapat dijelaskan dengan sebaiknya,” menurut kenyataan tersebut.
Mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan turut dianggotai wakil kerajaan serta pembangkang termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Aminolhuda Hassan (Sri Gading), Chong Zhemin (Kampar) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).
Turut hadir memberikan taklimat ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, Ahmad Rozian Abd Ghani serta wakil kanan MITI dan Kementerian Ekonomi.
Antara perkara dibincangkan termasuk hubungan Malaysia dengan Iran dan negara-negara terjejas, risiko terhadap perdagangan antarabangsa, pelaburan asing serta langkah mitigasi kerajaan menghadapi ketidaktentuan global.
Kementerian Luar turut memaklumkan kerajaan sentiasa memantau perkembangan geopolitik semasa termasuk garis panduan perjalanan ke luar negara yang telah dikeluarkan kepada rakyat Malaysia.
MITI pula membentangkan strategi mengurangkan risiko terhadap sektor perdagangan dan pelaburan negara sekiranya konflik berlarutan atau menjadi semakin buruk.
Dalam masa sama, Kementerian Ekonomi memberi gambaran bahawa ketegangan berterusan di Asia Barat boleh memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi domestik terutama melibatkan harga minyak, rantaian bekalan global dan keyakinan pelabur.
Jawatankuasa itu bagaimanapun memaklumkan semua ahli berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan kementerian terlibat, namun berpandangan perbahasan terbuka di Parlimen perlu dilakukan memandangkan isu tersebut melibatkan kepentingan negara dan rakyat secara menyeluruh.
BACA JUGA ‘Jangan ulangi tebuk atap, tunggulah PRU nak berkawan boleh, nak lawan pun boleh!’