Pemuda AMANAH NS naik angin, rela tanding tiga penjuru
Dalam satu kenyataan keras hari ini, Pemuda AMANAH Negeri Sembilan mendakwa polemik politik semasa berpunca daripada “ketamakan” pihak tertentu dalam Umno yang didakwa mahu merebut jawatan Menteri Besar sehingga sanggup menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Malah, mereka turut mendakwa tindakan tersebut membelakangkan titah Tuanku Muhriz yang sebelum ini memperkenankan Menteri Besar daripada PH untuk terus memimpin negeri berkenaan.
“Keputusan pimpinan PH-BN untuk mengekalkan kerajaan perpaduan ibarat menyimbah garam ke luka penggerak dan penyokong PH di Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Pemuda Amanah Negeri Sembilan turut mengingatkan bahawa beberapa kerusi BN yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu berlaku hasil sokongan serta kerjasama pengundi PH.
Menurut mereka, AMANAH sendiri pernah mengorbankan kerusi Lenggeng yang dimenangi pada PRU14 bagi memberi laluan kepada calon BN bertanding.
Kenyataan itu turut mempersoalkan kegagalan pimpinan gabungan mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat BN yang didakwa mengkhianati kerajaan perpaduan.
“Permohonan maaf tidak cukup. Hukuman yang lebih tegas perlu diberikan kepada mereka jika ingin membina semula kerajaan perpaduan,” katanya.
Antara cadangan dikemukakan termasuk mengosongkan jawatan ketua kampung dan ahli majlis daripada BN, selain mempertimbangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi terlibat.
Mereka turut mencadangkan agar 14 kerusi dimenangi BN sebelum ini dipertandingkan semula menerusi pertandingan tiga penjuru supaya pengundi menentukan sendiri mandat baharu.
“Tiada rundingan dengan pengkhianat. Jika mahu berunding, pilih orang lain tanpa rekod khianat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Zainal Lutfi.
BACA JUGA DAP memang majoriti, tapi banyak kali mengalah – Mat Sabu