Kerajaan perhalusi penarikan subsidi RON95 untuk golongan kaya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperhalusi pelaksanaan untuk menarik balik subsidi petrol bagi golongan kaya agar tidak membebankan kelas menengah atasan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu sedang diteliti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menerusi jawatankuasa diketuai tokoh korporat, Tan Sri Mohd Hassan Marican sejak sebulan lalu.
“Kita sudah meneliti dan ada perbincangan sama ada (semakan subsidi) melibatkan golongan T5, T10, T15 atau T20 kerana tidak mahu ia tidak membebankan yang kelas menengah atas.
“Pasukan mereka sedang meneliti dan kemudian mudah untuk pelaksanaan tapi pada prinsipnya setuju,” katanya selepas program Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Sebelum ini, Pemuda Umno dilaporkan akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebagai antara resolusi utama hasil Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0).
Menurut Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat.
Akmal berkata, subsidi dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.
BACA JUGA PH mungkin hilang majoriti dua pertiga di Pulau Pinang? Ini reaksi Chow