Selagi RON95 RM1.99, ramai tak sedar dunia sedang menuju krisis minyak
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Ramai orang hanya fokus kepada harga minyak semasa dan tidak ramai yang nak tahu lama mana bekalan minyak dunia boleh bertahan disebabkan Perang Iran. Asalkan RON 95 RM 1.99, mana ada masalah dalam dunia ni, ‘kan?
Usaha saya menggalakkan pemikiran strategik ialah supaya kita tidak mudah selesa dan bersedia untuk menghadapi cabaran sebelum ianya berlaku. Dalam bahasa pengurusan pula, itu dinamakan pengurusan risiko.
Kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz. Sekarang Iran menghadkan laluan berkenaan disebabkan serangan Amerika Syarikat (AS) – Israel manakala AS pula nak halang kapal-kapal Iran dari keluar.
Dalam banyak laporan dan pandangan yang saya dengar, ramai yang menjangkakan dunia akan merasai kesan Perang Iran selepas bulan Jun.
Mengapa? Di ketika itu simpanan strategik minyak di kebanyakan negara akan mula kosong.
Walaupun ada bekalan tambahan dari Russia dan lain-lain pembekal, kos tambahan seperti logistik dan insuran akan menyebabkan kos minyak naik.
Jika bekalan tak cukup pula, letaklah harga minyak di pam semurah mana pun tak guna jika bekalan minyak tak cukup.
Di ketika ini pula, pelbagai usaha lain digunakan untuk mengurangkan penggunaan minyak. Ada kerja dari rumahlah, ada juga negara seperti Indonesia yang memurah harga kereta EV supaya lebih ramai rakyat mereka menggunakan kenderaan elektrik.
Namun, perangai manusia ini mudah diagak. Selagi poket tidak terkesan, ramai yang enggan mengubah gaya hidup. Buat apa kurangkan penggunaan petrol jika harga petrol tak bergerak-gerak.
Kemudian ada pula golongan yang mendakwa mereka boleh kawal semua harga minyak dari naik.
Ya, mereka dah buat dahulu ke atas harga telur ayam sehingga bekalan telur terus tiada. Ingat lagi tak “kecerdikan” puak-puak ini?
Saya kena jujur dengan ilmu saya. MARA dah bantu saya belajar di MRSM, beri biasiswa belajar pengurusan perniagaan dan perakaunan di Australia.
Tak kan saya nak kena humban ilmu saya hanya kerana nak tegakkan perkara yang tidak betul tetapi popular? Allah pun marah.
Rasa rela bayar harga sebenar dari meninggalkan hutang untuk dibayar oleh anak cucu saya. Cukuplah kebaikan yang negara berikan kepada saya dan generasi saya sebelum ini.
Jika datuk nenek saya wariskan Malaysia yang makmur, saya nak wariskan negara yang lebih makmur kepada anak cucu saya.
Saya tak nak diingati sebagai atok yang meninggalkan hutang yang digunakan untuk memudahkan hidupnya, bukan bersusah-susah seperti rakyat Malaysia yang berkorban untuk menuntut dan mengisi kemerdekaan dahulu.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA Jangan ‘cah keting’ sesama sendiri, Mujahid yakin hubungan BN-PH kekal utuh