Bersatu terus bergolak, Timbalan Speaker DUN Kelantan pun dipecat

Pergolakan dalam Bersatu dilihat berterusan apabila Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamaed Farid Mohamed Zawawi dipecat dari parti itu berkuat kuasa hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkenaan dikatakan telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan bahawa Mohamaed Farid masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut.

“Lembaga Disiplin bersidang dan memutuskan YB Datuk dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut notis itu.

Sementara itu, dalam notis berasingan dikeluarkan Mohd Radzi, ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar, digantung keahlian partinya selama dua penggal pemilihan.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis berasingan hari ini turut memaklumkan, menggantung keahlian parti Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.

Exco Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin pula dipecat keahlian partinya oleh Lembaga Disiplin parti berkuatkuasa hari ini.

Minggu lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut bertindak memecat dua ADUN dan menggantung lima Ahli Parlimen.

Antara yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Sementara itu, lima Ahli Parlimen yang digantung ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut digantung adalah ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

BACA JUGA Saya tidak akan merayu, kata MP Hulu Terengganu