Kita asyik gaduh pasal politik, teh tarik, rupanya dunia kagum tengok Malaysia
Di sebalik pelbagai perdebatan politik, isu kaum dan perang media sosial yang sering mewarnai kehidupan rakyat, Malaysia sebenarnya muncul antara negara paling aman dan stabil di dunia mengatasi beberapa kuasa besar global.
Berdasarkan Global Peace Index (GPI) 2025 yang menilai 163 negara, Malaysia berada di tangga ke-13 dunia dari segi keamanan dan kestabilan sosial.
Kedudukan itu meletakkan Malaysia di hadapan beberapa negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat pula berada di kedudukan ke-128, India di tangga ke-116 manakala China di kedudukan ke-88.
Apa yang menjadikan pencapaian Malaysia lebih signifikan ialah negara ini merupakan antara sedikit negara membangun berbilang kaum dan agama yang berjaya berada dalam kelompok teratas indeks tersebut.
Berbeza dengan kebanyakan negara di ranking tertinggi yang terdiri daripada negara kecil, lebih homogen atau negara Eropah yang kaya, Malaysia dibina atas masyarakat majmuk dengan sejarah kolonial yang pernah memisahkan rakyat mengikut kaum dan ekonomi.
Walaupun baru mencapai kemerdekaan kurang daripada 70 tahun lalu, Malaysia masih berjaya mengekalkan kestabilan sosial dalam suasana masyarakat yang kompleks.
Pemerhati melihat keadaan itu sebagai sesuatu yang unik kerana banyak negara lain kini bergelut dengan peningkatan ekstremisme, ketegangan kaum dan polarisasi politik yang semakin serius.
Di Malaysia, rakyat mungkin sering bertelagah tentang politik, makanan, bahasa atau isu semasa di media sosial, namun kehidupan masyarakat pelbagai kaum masih mampu bergerak dalam satu sistem sosial yang relatif stabil.
Keadaan itu menyebabkan Malaysia sering dianggap sebagai contoh unik bagaimana masyarakat pelbagai bangsa dan agama boleh hidup bersama dalam keadaan aman walaupun tidak sempurna.
Dalam dunia yang semakin terpecah akibat konflik identiti dan politik, model masyarakat Malaysia dilihat semakin mendapat perhatian kerana berjaya mengekalkan keharmonian relatif di tengah-tengah kepelbagaian budaya dan agama.
BACA JUGA Bos sebenar politik Thailand dah kembali – Elit konservatif mula resah