Vijay terus ‘pecut’ hari pertama jadi KM? : Elektrik percuma, keselamatan wanita
Ketua Menteri baharu Tamil Nadu, C Joseph Vijay pada Ahad mengumumkan beberapa langkah awal pentadbirannya kurang sehari selepas mengangkat sumpah jawatan, lapor Onmanorama.
Vijay yang mengetuai parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, keselamatan wanita dan usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
Antara pengumuman awal beliau termasuk pemberian elektrik percuma kepada golongan tertentu selain memperkenalkan langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan wanita di negeri itu.
Kerajaan baharu Tamil Nadu juga dijangka memperhebat kempen antidadah yang menjadi antara agenda utama TVK sepanjang pilihan raya negeri lalu.
Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas TVK mencipta kejutan besar dengan menamatkan penguasaan tradisi parti-parti Dravidian di negeri berkenaan.
Menurut laporan media India, kemenangan TVK dianggap antara perubahan politik paling besar di negara itu dalam beberapa dekad memandangkan parti tersebut baru ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu.
Beberapa pemimpin nasional termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan pemimpin Kongres Rahul Gandhi turut mengucapkan tahniah kepada Vijay atas pelantikannya.
Rahul menyifatkan kemenangan Vijay sebagai lambang “generasi baharu dan imaginasi baharu” dalam politik Tamil Nadu.
Pemerhati politik melihat tindakan pantas Vijay mengumumkan dasar awal pentadbiran sebagai usaha menunjukkan TVK bukan sekadar bergantung kepada populariti selebriti, sebaliknya bersedia mentadbir negeri dengan agenda tersusun.
Tamil Nadu merupakan antara negeri paling maju di India dengan kekuatan ekonomi dalam sektor teknologi, pendidikan dan perindustrian.
BACA JUGA ‘Emas putih’ yang terbiar di belakang rumah