RENCANA | Petik cerita tanpa sumber sahih, MP Pas hina sahabat Nabi?

AHMAD MURSI

Ceramah agama sepatutnya mendidik masyarakat dengan ilmu, adab dan kebenaran. Tetapi mutakhir ini, semakin ramai penceramah memilih jalan sensasi, cerita yang sedap didengar, emosional dan penuh dramatisasi walaupun tidak bersandarkan sumber yang sahih.

Terbaru, Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh membawa satu naratif yang sangat mengejutkan apabila menggambarkan beberapa sahabat besar Nabi Muhammad SAW secara amat buruk dalam ceramahnya.

Beliau mendakwa Saidina Abu Bakar seorang “bapak ceti” yang kaya kerana memeras orang miskin pada zaman jahiliah. Saidina Umar pula digambarkan sebagai individu ganas dan kaki zina.

Malah beberapa sahabat lain seperti Saidina Uthman, Saidina Ali dan Hamzah turut dikaitkan dengan gambaran negatif ketika zaman jahiliah.

Persoalannya, apa sandaran kepada cerita-cerita ini?

Hadis mana? Kitab mana? Riwayat siapa?

Atau sekadar “trust me bro”?

Inilah masalah besar apabila ceramah agama tidak lagi dipandu disiplin ilmu, tetapi dipenuhi elemen penglipur lara untuk memancing emosi pendengar.

Cerita direka supaya ceramah nampak menarik, dramatik dan “hidup”, walaupun akhirnya membawa fitnah terhadap tokoh-tokoh besar Islam sendiri.

Lebih pelik, kelompok yang begitu cepat melatah dalam isu politik, mengajak orang ramai berdemo dan membuat laporan polis atas nama mempertahankan agama, kelihatan diam apabila sahabat Nabi dihina dengan cerita yang tidak jelas sumbernya.

Kalau benar mahu mempertahankan kesucian agama, isu seperti inilah yang sepatutnya diberikan perhatian serius.

Dalam sejarah Islam, reputasi Saidina Abu Bakar al-Siddiq sangat jelas. Banyak riwayat menunjukkan beliau dihormati masyarakat Mekah sebelum Islam lagi kerana sifat amanah, pemurah dan suka membantu orang susah.

Dalam Sahih al-Bukhari, ketika Abu Bakar mahu berhijrah ke Habsyah, seorang pembesar Quraisy bernama Ibn al-Daghinnah mempertahankannya dengan berkata bahawa orang seperti Abu Bakar tidak sepatutnya diusir kerana beliau menjaga silaturrahim, membantu orang susah, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang ditimpa musibah.

Itu pengiktirafan daripada musuh Islam sendiri terhadap akhlak Abu Bakar.

Jadi dari mana datangnya cerita beliau seorang pemeras orang miskin?

Begitu juga Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau diasuh sendiri oleh Nabi Muhammad SAW sejak kecil sebelum kenabian lagi dan menjadi antara individu terawal memeluk Islam ketika masih kanak-kanak.

Logiknya, bila masa beliau sempat menjadi “jahat” seperti yang digambarkan?

Inilah sebab mengapa masyarakat perlu lebih kritikal apabila mendengar ceramah agama, khususnya yang melibatkan kisah sirah, para sahabat dan perkara ghaib. Jangan hanya kerana seseorang memakai serban, berjubah atau bergelar ustaz dan ulama, semua yang disebut diterima tanpa semakan.

Ilmu agama mempunyai disiplin. Sejarah Islam mempunyai metodologi. Hadis mempunyai kaedah penilaian sanad dan matan. Semua ini diwujudkan supaya agama tidak menjadi medan cerita rekaan dan manipulasi emosi.

Apabila tokoh agama sendiri gagal menjaga disiplin ilmu, masyarakat akhirnya menjadi mangsa kekeliruan.

Dan lebih malang, fitnah terhadap generasi terbaik umat Islam disampaikan atas nama dakwah.

BACA JUGA DNA khianat ada pada Umno bukan Pas – Hadi