Berlawan politik lain cerita, ambulans tetap kami hantar -PKR Hulu Selangor bantu himpunan Pas?

PKR Cabang Hulu Selangor memutuskan untuk menyediakan perkhidmatan medik dan ambulans kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku Sabtu ini walaupun program tersebut dianjurkan pihak pembangkang.

Ketua cabangnya, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata bantuan itu diberikan atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab menjaga keselamatan orang awam tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Menurut beliau, hak berhimpun dan bersuara secara aman merupakan sebahagian daripada prinsip demokrasi yang perlu dihormati semua pihak.

“Perbezaan pandangan politik tidak sewajarnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menafikan hak bersuara, selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan keamanan awam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata langkah menyediakan sokongan kecemasan itu dibuat sebagai persediaan awal bagi membantu peserta himpunan sekiranya berlaku sebarang kecemasan kesihatan atau insiden tidak diingini.

Sathia berkata pendirian itu juga selari dengan prinsip reformasi yang diperjuangkan PKR termasuk mempertahankan hak demokratik rakyat.

Himpunan Daulat Tuanku dijadual berlangsung pada 16 Mei ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor turut memaklumkan akan membantu melancarkan perjalanan himpunan tersebut dengan kerjasama polis selain menyediakan makanan dan minuman kepada peserta.

Mengulas lanjut, Sathia yang juga pengasas rangkaian kumpulan SP Care berkata himpunan itu perlu dilihat dalam kerangka demokrasi matang yang memberi ruang kepada rakyat berhimpun secara aman, tertib dan mematuhi undang-undang.

Katanya, menjunjung institusi diraja bukan sekadar slogan politik bermusim tetapi perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati dan memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

“Demokrasi yang matang bukan hanya diukur melalui kebebasan bersuara, tetapi juga melalui keupayaan semua pihak menjaga ketertiban, mengelakkan provokasi dan memastikan tiada perkara yang boleh mencetuskan ketegangan,” katanya lagi.

BACA JUGA RENCANA | Malaysia tidak tenggelam dalam krisis: Anwar tegas jamin ekonomi terurus