Kalau tak boleh cakap baik, lebih baik diam – Mufti Kelantan tegur isu sahabat Nabi

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati dalam percakapan susulan kontroversi kenyataan yang didakwa menyentuh kedudukan sahabat Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata Islam mengajar umatnya supaya menjaga lidah dan mengelakkan ucapan yang boleh menimbulkan salah faham, kekeliruan atau mengguris sensitiviti masyarakat.

Memetik hadis Rasulullah SAW, beliau berkata orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat sepatutnya berkata perkara baik atau memilih untuk diam.

“Rasulullah SAW bersabda supaya kita berkata yang baik ataupun diam,” katanya.

Memetik laporan Berita RTM, Shukri berkata, umat Islam juga dianjurkan meninggalkan perkara yang tidak membawa manfaat termasuk kenyataan yang boleh mencetuskan polemik dan perpecahan.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata para sahabat Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam kerana mereka merupakan generasi yang berjuang bersama Nabi Muhammad SAW mempertahankan serta menyebarkan agama Islam.

Katanya, Rasulullah sendiri mengajar umat Islam supaya mengikuti sunnah Baginda dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang terdiri daripada para sahabat utama Nabi.

“Ini menunjukkan kedudukan para sahabat Nabi sangat tinggi.

“Kita tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menggambarkan sahabat Nabi tidak berjasa kepada Islam atau ajaran Islam,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam sentiasa diajar untuk mengasihi Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah berkorban demi menegakkan agama.

“Kita berharap seluruh umat Islam meletakkan kedudukan para sahabat di tempat yang tinggi dan tidak memperlihatkan mereka sebagai golongan yang tidak bermutu atau tidak bermakna kepada Islam,” katanya.

Isu berkaitan kenyataan menyentuh para sahabat Nabi sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas tular beberapa video ceramah Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh  daripada Pas yang mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk agamawan, ahli politik dan institusi agama.

BACA JUGA AMANAH seluruh negara buat laporan polis terhadap MP Pasir Puteh