Tanah kolam takungan banjir KL dipindah kepada pemaju: Tengku Adnan rupanya tak tahu
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu beliau tidak tahu mengenai pemindahan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju di Kuala Lumpur ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Tengku Adnan yang dilantik sebagai Menteri itu dari 2013 hingga 2018 berkata, urusan tanah tidak berada di bawah bidang kuasa kementerian.
“Apabila saya menjadi menteri, urusan tanah sudah dikembalikan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), di mana Ketua Setiausaha Negara (KSN) ialah pengerusi jawatankuasa yang berkenaan.
“Saya sendiri tidak berada dalam lembaga jawatankuasa tanah itu. Jabatan Tanah dan Galian berada di bawah KSN,” katanya, dipetik New Straits Times.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kapasiti kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu menyusut kepada kira-kira 30 peratus selepas 17 lot tanah dipindahkan kepada pemaju.
Jumlah keluasan asal kolam takungan banjir adalah 114.5 hektar membabitkan 17 lot tanah tetapi kini hanya tinggal 34.35 hektar badan air selepas pemberian milikan.
Pemindahan hak milik itu, menurut Hannah lagi berlaku sejak 2015 sekaligus mengakibatkan kapasiti asal kolam semakin berkurangan.
BACA JUGA Akhirnya Nik Zawawi minta maaf, akui kesilapan