Umpama paluan gendang perang, Fahmi kongsi inti pati Konvensyen PH

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 dijangka memperincikan strategi politik dan gerak kerja jentera parti menjelang sebarang pilihan raya.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan mesej tersebut dalam konvensyen pada 17 Mei ini.

Menurutnya, Anwar akan menggariskan hala tuju bagi PH dengan desas-desus kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri Johor, Melaka dan seterusnya.

“Sudah pasti amanat daripada pimpinan utama PH ini akan meletakkan hala tuju dan landasan dalam banyak perkara yang akan disusuli oleh jentera pilihan raya bagi gabungan ini sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

“Ia termasuklah dari segi persiapan, rundingan kerusi dan juga akan mengingatkan mengenai usaha menteri dalam PH ini untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang mungkin sudah sekian lama membelenggu rakyat,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026, di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, konvensyen pertama yang diadakan dalam tempoh empat tahun itu sebagai satu ‘paluan gendang perang’ bagi PH di peringkat kebangsaan, sekali gus menetapkan nada dan ritma pergerakan gabungan itu menjelang fasa politik seterusnya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, setakat ini Perdana Menteri belum memberi sebarang petunjuk pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat tetapi pimpinan PH tetap diingatkan supaya sentiasa bersedia.

“Walaupun tiada isyarat PRU-16 dalam masa terdekat, Perdana Menteri menegaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat mesti menjadi keutamaan, khususnya membabitkan golongan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Dalam masa sama, kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya, walaupun bukan sekarang, tetapi tidak mustahil dalam tempoh yang tidak terlalu lama,” kata Fahmi lagi.

Anwar dijadualkan memberi amanat khas dalam Konvensyen PH bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pada 17 Mei ini.

Konvensyen itu dijangka mengumpulkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara mewakili PKR, AMANAH dan DAP dan pimpinan utama yang hadir akan menyampaikan amanat masing-masing di samping perbahasan dari wakil setiap negeri.

BACA JUGA Bang Mat dedah potensi besar Malaysia, gergasi korporat AS makin berminat