Penjaja bukan sekadar cari makan : Bang Mat lancar pembiayaan khas Agrobank
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata golongan penjaja dan usahawan mikro tidak boleh lagi dilihat sekadar kelompok kecil ekonomi, sebaliknya mereka merupakan antara tulang belakang penting yang menggerakkan ekonomi rakyat.
Beliau berkata dalam keadaan dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi global, tekanan kos sara hidup dan isu rantaian bekalan makanan, bantuan kepada penjaja perlu diperkukuh supaya mereka mampu terus bertahan dan berkembang.
“Penjaja bukan sekadar mencari rezeki untuk keluarga, tetapi mereka juga menggerakkan ekonomi komuniti setempat, membuka peluang pekerjaan dan memastikan rantaian bekalan makanan terus berjalan dengan baik,” katanya.
Mohamad yang mesra dikenali sebagai Bang Mat berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Agro Penjaja-i oleh Agrobank di Wisma Tani.
Beliau turut memuji inisiatif Agrobank yang menurutnya mampu membantu lebih ramai penjaja dan usahawan mikro mendapatkan akses pembiayaan yang lebih mudah dan tersusun.
Menurut beliau, kerajaan komited membantu golongan itu bukan sahaja melalui pembiayaan, malah latihan keusahawanan serta kemudahan digital supaya perniagaan mereka lebih sistematik dan berdaya saing.
Melalui skim Agro Penjaja-i, penjaja dan usahawan mikro bakal menikmati pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan mikro sehingga RM100,000, kemudahan kredit Cashline-i serta pembiayaan Ar-Rahnu pada kadar istimewa.
Program itu turut menyediakan laluan khas Green Lane bagi mempercepat proses berkaitan pembiayaan dan sokongan kepada peniaga kecil.
Bang Mat berkata inisiatif seperti itu penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara selain membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti agromakanan dan usahawan kecil di seluruh negara.
“Tahniah kepada Agrobank atas inisiatif yang sangat baik ini dalam membantu golongan penjaja dan usahawan mikro,” katanya lagi.
BACA JUGA Moga segala ikhtiar dan usaha diplomasi bantu redakan ketegangan