Sewa gerai turun 20% : Negeri Sembilan cuba legakan peniaga kecil

Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pengurangan kadar sewa gerai dan premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 20 peratus selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember ini.

Langkah itu dijangka memberi kelegaan kepada lebih 5,000 penyewa premis di seluruh negeri yang sedang berdepan peningkatan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata inisiatif berkenaan melibatkan premis di bawah beberapa PBT termasuk Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Majlis Perbandaran Jempol (MPJ) serta beberapa majlis daerah lain.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat sebagai usaha membantu peniaga kecil dan sederhana meneruskan operasi perniagaan dalam keadaan lebih stabil.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk mengurangkan kadar sewa gerai milik PBT sebanyak 20 peratus kepada penyewa bermula Jun hingga Disember,” katanya.

Beliau berkata pengurangan tersebut dijangka memberi kesan langsung kepada ribuan penyewa premis yang bergantung kepada perniagaan kecil untuk menjana pendapatan harian.

Katanya lagi, kerajaan negeri memahami tekanan yang sedang dihadapi peniaga termasuk kenaikan kos bahan mentah, utiliti serta operasi perniagaan.

Dalam masa sama, Aminuddin berkata pelaksanaan inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan melebihi RM1.4 juta kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya langkah tersebut dianggap penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana terus terjamin selain membantu menggerakkan ekonomi tempatan.

BACA JUGA Ketua Polis Negara bersuara isu kenyataan kontroversi Nik Zawawi