PH Johor persoal lima ADUN lantikan: Sah di sisi undang-undang, tapi perlu ke?
Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan bantahannya terhadap cadangan menambah lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bukan soal perundangan, sebaliknya berkaitan keutamaan demokrasi, representasi rakyat dan penggunaan wang awam.
Dalam satu kenyataan media hari ini, PH Johor menjawab kenyataan ADUN Mohd Hairi Mad Shah yang mempertahankan langkah kerajaan negeri itu.

Menurut PH Johor, cubaan mengaitkan pelantikan Senator dengan isu ADUN lantikan adalah hujah yang mengelirukan kerana kedua-duanya melibatkan struktur dan konteks yang berbeza.
Jelasnya, jawatan Senator diperuntukkan secara jelas dalam Parlimen Malaysia melalui Dewan Negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala penambahan ADUN lantikan di Johor dicadangkan ketika Barisan Nasional (BN) sudah memiliki majoriti kukuh sebanyak 40 kerusi DUN.
“Maka, persoalannya bukan ‘boleh atau tidak’, tetapi ‘perlu atau tidak’,” menurut kenyataan itu.
PH Johor turut menegaskan bahawa sesuatu yang sah di sisi undang-undang tidak semestinya tepat dari sudut semangat demokrasi dan kepentingan rakyat.
Menurut gabungan itu, Johor kini berdepan isu ketidakseimbangan jumlah pengundi yang ketara, dengan ada kawasan DUN mempunyai lebih 130,000 pengundi, manakala sesetengah kawasan lain hanya sekitar 20,000 pengundi.
Sehubungan itu, PH Johor berpandangan isu persempadanan semula dan keseimbangan representasi rakyat jauh lebih mendesak untuk diselesaikan berbanding menambah lima lagi ADUN yang tidak dipilih melalui pilihan raya.
Sangat selesa
PH Johor juga mempersoalkan rasional cadangan tersebut memandangkan BN sudah memiliki majoriti dua pertiga yang sangat selesa di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi, rakyat berhak bertanya: jika bukan kerana kestabilan, bukan kerana kekurangan sokongan dan bukan kerana krisis Dewan, maka apakah keperluan sebenar menambah lima lagi ADUN lantikan?
“Ini persoalan politik yang sah dalam sebuah sistem demokrasi,” tegas gabungan tersebut.
Selain itu, PH Johor mengingatkan bahawa pelantikan tambahan itu akan melibatkan kos kepada kerajaan negeri termasuk gaji, elaun, pejabat, kakitangan dan pelbagai kemudahan lain yang dibiayai menggunakan dana awam.
Menurutnya, dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, wang negeri sepatutnya digunakan untuk memperkukuh sistem representasi yang dipilih rakyat, bukannya memperluas jawatan lantikan politik.
Dalam masa sama, PH Johor turut mempertahankan kempen kutipan tandatangan yang digerakkan bagi membantah cadangan tersebut.
Katanya, usaha mengumpul tandatangan dan menyatakan pendirian secara terbuka merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang matang dan tidak sepatutnya dipandang sinis.
“Jika kerajaan yakin rakyat menyokong langkah ini, maka mereka tidak perlu takut kepada suara rakyat yang ingin menyatakan pendirian secara terbuka,” menurut kenyataan itu lagi.
BACA JUGA Jho Low hadir mesyuarat rahsia tahun lalu? Ini respons KPN