Selepas keluar dari IPD, ulamak Pas ini nasihat lebih berwaspada dengan fakta ilmiah
Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini, berhubung ucapannya yang didakwa menghina para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas berkenaan mengucapkan penghargaan kepada pihak polis yang memberi kerjasama yang baik terhadapnya.
“Alhamdulillah, di pagi Jumaat yang ceria hari ini, saya datang memberi kerjasama kepada pihak PDRM untuk buat laporan (keterangan) berkenaan dengan ucapan saya baru-baru ini.
“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang memberi kerjasama yang baik. Alhamdulillah ia sempurna dengan kerjasama pegawai-pegawai di IPD Kota Bharu.
“Terima kasih juga kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan ini.
“Mudah-mudahan perkembangan ilmiah seumpama ini memberi keinsafan kepada kita semua khususnya kepada saya supaya lebih berwaspada dengan fakta-fakta ilmiah yang ada di dalam kitab dan supaya kita mengambil pendapat yang paling kuat di dalam kitab,” katanya.
Menimbulkan masalah
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, jika ambil yang lemah memang ia akan menimbulkan masalah.
“Jadi, kalau kita ambil yang kuat, Insya-Allah selamat dan ia menjadi pengajaran kepada saya serta kepada kita semua dalam perkara seumpama ini.
“Mudah-mudahan semua yang berlaku ini akan memantapkan lagi perjuangan kita dan ambil pengajaran yang ada di dalamnya,” hujahnya.
Sebelum ini, banyak pihak mengkritik ucapan bekas Ketua Dewan Ulamak Pas itu yang menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Nik Zawawi menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan hobi berzina.
Susulan kenyataan dan gelaran melampau tanpa bersandarkan riwayat sahih itu, banyak pihak tampil membuat laporan polis mendesak supaya Nik Zawawi dikenakan tindakan.
BACA JUGA Dong Zong kata syarat ke IPTA masih terlalu tinggi, ini penjelasan KPT