KONVENSYEN PH | Anwar seru semua mesti berani jawab fitnah dengan fakta

Semua anggota Pakatan Harapan (PH) diseru menjawab semua fitnah segera dengan fakta yang lengkap.

Teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim ditujukan kepada semua anggota kabinet dan jentera kerajaan yang menurutnya masih terlalu perlahan mempertahankan dasar kerajaan sehingga memberi ruang kepada pembangkang menguasai naratif politik.

Menurut beliau, menteri dan pimpinan kerajaan tidak boleh terus memilih pendekatan berdiam diri ketika pelbagai fitnah serta propaganda disebarkan terhadap Kerajaan MADANI.

“Mahu jadi pemimpin, berani jawab dengan fakta,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pakatan Harapan di Johor.

Anwar berkata setiap projek pembangunan dan dasar kerajaan perlu diterangkan secara jelas kepada rakyat termasuk projek Persekutuan yang sering dimanipulasi sebagai kejayaan pihak lain.

Menurut beliau, budaya berdiam diri atau terlalu berhati-hati dalam menjawab serangan politik tidak lagi sesuai dalam suasana politik semasa yang dipenuhi propaganda dan sentimen.

“Jawab dengan lengkap. Jangan lengah-lengah,” katanya lagi.

Beliau turut meminta Menteri Komunikasi serta jentera penerangan kerajaan memainkan peranan lebih aktif menjelaskan pencapaian Kerajaan MADANI.

Dalam ucapan hampir sejam itu, Anwar menyentuh pelbagai isu termasuk kos sara hidup, pembangunan wilayah, pendidikan, agenda reformasi ekonomi dan bantuan kepada rakyat.

Antara perkara yang diketengahkan termasuk kenaikan gaji penjawat awam, projek pembangunan di Sabah dan Sarawak, bantuan kepada SME serta usaha mengekang inflasi.

Ucapan beliau beberapa kali disambut tepukan gemuruh hadirin apabila menyentuh soal integriti kerajaan, politik perkauman dan keberanian mempertahankan dasar kerajaan perpaduan dengan fakta.

BACA JUGA KONVENSYEN PH | Ini pasukan yang bekerja, bukan merompak kekayaan – PMX