Pengampunan Jho Low? Malaysia dah tutup pintu

Kerajaan Malaysia memberi isyarat paling tegas setakat ini terhadap sebarang usaha mendapatkan pengampunan untuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu langsung tidak akan dipertimbangkan.

Anwar berkata kerajaan tidak akan sama sekali menyokong mana-mana cubaan membebaskan Jho Low daripada pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memandangkan kes tersebut melibatkan unsur jenayah dan kerugian besar kepada negara.

Beliau berkata kenyataannya sebelum ini bahawa isu pengampunan itu “tidak berbangkit” sebenarnya merujuk kepada pendirian kerajaan yang sudah menutup ruang pertimbangan terhadap perkara berkenaan.

“Saya kata tidak berbangkit bukan bermakna tiada isu.

“Yang saya maksudkan ialah kerajaan tidak mempertimbangkan sama sekali jika dia memohon pengampunan,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Menurut Anwar, kes yang dikaitkan dengan Jho Low bukan isu biasa kerana melibatkan unsur kecurangan, jenayah kewangan serta kerugian besar kepada negara.

“Ini kerana ia melibatkan kecurangan, jenayah dan kerugian berbilion ringgit kepada negara,” katanya lagi.

Anwar turut menjelaskan bahawa terdapat laporan media yang didakwa menafsirkan kenyataannya secara tidak tepat sehingga menimbulkan persepsi kerajaan mungkin membuka ruang pertimbangan terhadap Jho Low.

“Saya sebut tidak diberi pertimbangan, tetapi ada media melaporkan dengan cara lain.

“Sebenarnya ia bukan isu untuk kita beri tumpuan atau pertimbangkan,” katanya.

Sebelum ini, The Wall Street Journal melaporkan Jho Low dikatakan sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut laporan itu, permohonan tersebut dikemukakan beberapa minggu lalu dan jika diluluskan, ia boleh menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya di Amerika Syarikat.

Jho Low menjadi individu paling dikehendaki pihak berkuasa antarabangsa selepas didakwa sebagai dalang utama penyelewengan dana 1MDB yang mencetuskan skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia.

BACA JUGA PKR: Parti pernah lalui lebih besar daripada pengunduran Asheeq