Rafizi, Nik Nazmi keluar PKR, Fuziah rujuk Speaker?

PKR mengesahkan telah menerima pengisytiharan daripada Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk keluar daripada parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata tindakan tersebut menyebabkan keanggotaan kedua-dua pemimpin itu gugur secara automatik mengikut peruntukan perlembagaan parti.

Menurut beliau, pengisytiharan berkenaan turut tertakluk kepada Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh status kerusi Ahli Dewan Rakyat apabila seseorang wakil rakyat tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya ketika dipilih.

“Kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya dalam kenyataan itu.

Fuziah berkata beliau akan merujuk perkara berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menentukan status kedua-dua Ahli Parlimen terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam masa sama, PKR turut memaklumkan parti itu akan menentukan status keanggotaan beberapa Ahli Parlimen lain yang hadir dalam program pengumuman berkenaan.

Perkembangan tersebut dijangka mencetuskan gelombang baharu dalam landskap politik negara memandangkan Rafizi dan Nik Nazmi merupakan antara tokoh utama dalam kerajaan perpaduan serta kepimpinan kanan PKR.

Setakat ini, kedua-dua pemimpin berkenaan belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai hala tuju politik mereka selepas pengumuman tersebut.

BACA JUGA KONVENSYEN PH | Anwar seru semua mesti berani jawab fitnah dengan fakta