Kerajaan Perpaduan 2.0 atau perpisahan menjelang PRU16?

OLEH ZULQARNAIN LUKMAN

Perkembangan politik pada hari ini nampaknya semakin rencam. Semalam PH mengadakan Konvensyen PH di Johor Baru. 

Pada hari sama juga, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR dan memilih untuk menganggotai parti baru, Parti Bersama. 

Kelmarin, Umno Johor mengumumkan akan bertanding di 56 buah kerusi DUN Johor. 

Kemudian Menteri Besar Negeri Sembilan dan Anthony Loke mengumumkan PH bersedia untuk bertanding di kesemua 36 Dun Negeri Sembilan. 

Beberapa minggu lepas, ramai Ahli Parlimen Bersatu telah dipecat atau digantung keahlian. Bekas Timbalan Presiden Bersatu (Hamzah Zainudin) pula masih tercari-cari platform baharu untuk bergerak. 

Selain itu, PN telah mengumumkan Dr Samsuri yang juga MB Terengganu, Adun Rhu Rendang, Ahli Parlimen Kemaman sebagai Pengerusi PN yang baharu. 

Mengapa Pas tidak menamakan Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden Pas untuk menjadi Ketua Pembangkang padahal Ketua Pembangkang sepatutnya perlu berada di Parlimen dalam setiap sesi sidang dewan. 

Mungkin selepas ini kerajaan negeri Terengganu terpaksa berbelanja mewah untuk menyewa helikopter untuk mengangkut Samsuri supaya Samsuri boleh melaksanakan tugas sebagai MB dan pada masa yang sama memberikan tumpuan kepada jawatan Ketua Pembangkang. 

Pas pula masih terkial-kial dalam menjawab isu SU Majlis Syura Ulama Pad, Nik Zawawi berkaitan penghinaan kepada Saidina Abu Bakar ra sebagai bapak ceti dan hobi Saidina Umar ra. 

Melihat perkembangan ini, PMX mengumumkan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk memohon membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

Nampaknya, PRU 16 ini akan menyaksikan pertembungan banyak penjuru seperti mana di Sabah. 

Jika melihat kepada keputusan PRU Sabah tempoh hari, Hajiji melalui GRS terus mendapat mandat untuk memerintah Sabah. 

Kelebihan GRS adalah kerana ia adalah parti yang memerintah. Parti Warisan mendapat kerusi kedua terbanyak dan Umno hanya tinggal 6 kerusi. DAP langsung tidak memenangi sebarang kerusi. 

Demokrasi Malaysia banyak berubah setelah BN jatuh pada tahun 2018. 

Perkembangan politik selepas kejatuhan BN adalah pesat sekali. Keadaan ini sama seperti di Indonesia pasca kejatuhan Suharto. 

Presiden Indonesia saling bertukar ganti daripada pelbagai parti. Parti Golkar yang menjadi parti Suharto sudah tidak lagi menjadi saingan kepada parti lain.

Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama. Maksudnya BN tidak mungkin lagi akan menguasai secara mutlak kerusi di Dewan Rakyat. 

Jika ada pemimpin BN berasakan BN sudah kuat sekarang untuk merampas kerusi majoriti maka itu adalah hanya impian semata-mata.

Nak tak nak, besar kemungkinan akan wujud kerajaan campuran di antara pelbagai parti selepas PRU 16 kelak. 

Mungkin akan wujud Kerajaan Perpaduan 2.0 selepas PRU 16 dan Anwar Ibrahim masih lagi dipilih untuk mengetuai kerajaan. 

Cuma kita tidak tahu apa komposisi parti pada ketika itu. Kelebihan Anwar Ibrahim adalah untuk mewujudkan kestabilan politik sehingga mampu menjaga ekonomi Malaysia dengan baik. 

Ini dibuktikan dengan RM yang semakin mengukuh, petunjuk indeks rasuah yang semakin baik, pertumbuhan ekonomi yang masih baik, inflasi yang stabil dan kadar pengangguran yang rendah.

Selepas PRU 15, PH mendapat kerusi terbanyak diikuti oleh PN. BN hanya berada di tempat ketiga. 

Tetapi BN cekap untuk memilih menjadi kerajaan dan cepat-cepat bergabung dengan PH. PN pula membuat kesilapan tektikal kerana menolak untuk bersama PH. 

Sehingga sekarang pasti ramai di kalangan MP PN khususnya daripada Pas yang mempunyai lebih 40 kerusi menyesal kerana tidak bersama PH untuk membentuk kerajaan dan terlepas peluang untuk menjadi menteri atau timbalan menteri.

Pergerakan politik adalah dinamis. Musuh pada hari ini boleh menjadi kawan pada hari esok. Kawan pada hari ini mungkin menjadi musuh pada hari esok. 

Bak kata Mat Sabu, ‘kalau nak lawan kita lawan, kalau nak kawan kita kawan’. 

Dulu penyokong Pas menjadikan bendera DAP sebagai selimut badan mereka tetapi pada hari ini tiap-tiap hari DAP dijadikan punching bag maki-hamun padahal tiada seorang pun calon Melayu Pas berani beradu berlawan secara gentleman di kerusi DAP. 

Dahulu Altimet pernah menggubal lagu hoi penyamun untuk menggambarkan korupsi BN tetapi selepas PRU 15, penyokong PH sudah tidak lagi menyanyikan lagu itu tetapi tiba-tiba penyokong Pas pula yang menyanyikan lagu itu. 

Tidak mustahil selepas PRU 16 kelak, PH akan bergabung dengan PN untuk membentuk kerajaan kerana mungkin PN sudah mengambil pengajaran pahit dek terlalu ego menolak titah YDPA pada ketika itu untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Faktor besar dalam PRU16 adalah undi 18. Pengundi muda ini kebanyakannya tidak memahami falsafah perjuangan parti politik yang ada dan hanya mengikut trend di media sosial

Fahmi Fadzil pula begitu lemah dalam memberikan penerangan kerajaan di media sosial walaupun banyak sekali inisiatif kerajaan Madani kepada rakyat. 

Parti baharu seperti parti Rafizi ini hampir mustahil untuk membentuk kerajaan dalam konteks politik Malaysia tetapi parti ini bakal mencuri pengundi teras PH. 

Ramai penyokong PH yang menjadikan Rafizi sebagai idola mereka. 

Maka PH akan kehilangan sebahagian penyokong teras mereka sama seperti BN pernah hilang penyokong teras mereka kepada PN. 

AMANAH dahulu agak pandai mencari ruang. Apabila Pakatan Rakyat pecah maka Mat Sabu cepat-cepat memasukkan parti AMANAH sebagai satu komponen PH untuk menggantikan Pas. 

Hasilnya dalam PRU 14 dan PRU 15 AMANAH menjadi sebahagian daripada kerajaan.  Begitu juga parti Muda, tiada yang boleh dibanggakan oleh mereka kecuali jenama Syed Sadiq masih boleh dijual. 

Takdirnya Syed Sadiq didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan maka Syed Sadiq sudah tidak boleh lagi menjadi calon PRU16. Maka Muda akan kehilangan poster boy mereka. 

Apa pun, melihat kepada perkembangan terbaru ini besar kemungkinan PRU 16 akan diadakan pada pada tahun ini khususnya jika BN sudah membuat keputusan untuk pergi solo. 

Apa guna berada di dalam kerajaan Perpaduan jika masing-masing sudah tidak sebulu.

BACA JUGA Bila cerita dongeng sang kancil tipu buaya dijadikan ideologi politik…