Konvoi bantuan Gaza dipintas, Malaysia anggap tindakan Israel biadap
Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa memintas flotila kemanusiaan ke Gaza serta menahan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tindakan Israel itu disifatkan sebagai pencabulan terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa selain mencerminkan usaha berterusan rejim berkenaan menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Menurut kenyataan itu, misi tersebut digerakkan atas dasar kemanusiaan sejagat bagi membantu rakyat Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan dan konflik berpanjangan.
“Tindakan kurang ajar rejim jahat ini bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan serta menyekat suara kemanusiaan,”tegas Anwar.
Malaysia turut menuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera semua aktivis yang ditahan termasuk rakyat negara ini.
Kenyataan tersebut menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap tindakan penindasan ke atas rakyat Palestin serta pihak yang membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
“Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban,” menurut kenyataan itu lagi.
Isu sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa susulan konflik berterusan di wilayah Palestin itu yang telah mengorbankan ribuan nyawa awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
BACA JUGA Kisah ibu cari parkir sampai dapat peluk PMX, raih rasa sebak netizen