Kuasa Peguam Negara bakal dipisah? Reformasi besar masuk Parlimen Jun ini 

Usaha memisahkan peranan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa akhir selepas Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen memuktamadkan cadangan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026.

Azalina Othman Said berkata mesyuarat keenam yang berlangsung hari ini merupakan sesi terakhir jawatankuasa tersebut selepas siri perbincangan intensif sejak Mac lalu.

Menurut beliau, jawatankuasa itu telah meneliti secara menyeluruh aspek perlembagaan, struktur institusi dan implikasi terhadap sistem keadilan jenayah negara sebelum memuktamadkan cadangan pindaan.

“Mesyuarat pada hari ini menumpukan kepada pemuktamadan cadangan pindaan kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dalam kedua-dua versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya dalam kenyataan media.

Azalina berkata jawatankuasa itu turut menyediakan Penyata Jawatankuasa yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 22 Jun depan.

Menurut beliau, proses reformasi itu dilaksanakan secara inklusif menerusi sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta agensi kerajaan berkaitan.

Beliau berkata langkah pengasingan kuasa tersebut penting bagi memperkukuh tadbir urus dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan agenda reformasi institusi dan pengukuhan tadbir urus negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, inklusif dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang serta pengasingan kuasa yang jelas,” katanya.

Cadangan memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum ini menjadi antara tuntutan utama reformasi institusi bagi memastikan proses pendakwaan lebih bebas dan tidak dipengaruhi kuasa eksekutif.

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan 2.0 atau perpisahan menjelang PRU16?