Azalina mahu semua Ahli Parlimen faham tujuan sebenar had jawatan PM
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentangkan buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat, Jun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau mahu semua pihak melihat cadangan ini secara matang dalam usaha memperkukuh reformasi institusi negara untuk jangka panjang.
Justeru katanya, perkara lebih penting adalah memastikan Ahli Parlimen terutama pembangkang memahami cadangan berkenaan yang bertujuan mengehadkan kuasa, bukannya memperluaskan kuasa Perdana Menteri.
Azalina berkata, kerajaan masih komited meneruskan agenda reformasi institusi termasuk usaha membawa semula pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Katanya, pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat dan kehadiran Ahli Parlimen ketika proses pengundian amat penting bagi menentukan kelulusan sesuatu RUU.
Beliau turut menegaskan, reformasi institusi memerlukan komitmen politik yang konsisten dan tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan.
BACA JUGA Netizen bandingkan ‘result’ 10A SPM ADUN KKB dengan Fadhli Shaari gara-gara isu lama ini