Pelapis sudah sedia ganti, sabotaj pimpinan cabang pro Rafizi tidak gugat PKR
Tindakan dua Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Titiwangsa meletakkan jawatan dan keluar parti merupakan satu bentuk sabotaj terhadap operasi cabang yang berlaku sejak awal lagi.
Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, peletakan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Titiwangsa, Fathin Amelina Fazlie dan Ahli Jawatankuasa Cabang, Muhammad Amir Aiman Roslin sudah dijangka memandangkan kedua-duanya dikenali sebagai penyokong kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli.
Menurutnya, keputusan mereka tidak memberi sebarang kesan kepada operasi cabang kerana kedua-duanya didakwa tidak pernah memainkan peranan secara aktif sejak memegang jawatan.
Beliau menegaskan kedua-dua individu terbabit gagal menghadiri mesyuarat dan tidak menunjukkan komitmen terhadap program-program anjuran cabang, malah seolah-olah mensabotaj gerak kerja organisasi selepas kem Rafizi tewas dalam pemilihan parti.
“Sesungguhnya tindakan mereka ini langsung tidak memberikan kesan kepada operasi cabang kerana mereka tidak pernah berfungsi sebagai pimpinan di peringkat cabang dari awal mereka memegang jawatan.
“Kesemua mereka juga gagal hadir dan gagal memberikan komitmen terhadap mesyuarat dan sebarang program anjuran cabang.
“Mereka seolah-olah bertindak mensabotaj operasi cabang sejak dari awal kekalahan kem Rafizi,” tegas beliau.
Malahan, jelas Syed Badli lagi, AMK Cabang juga terpaksa digantung atas kegagalan ketuanya untuk memanggil dan mengadakan mesyuarat agung tahunan.
“Oleh kerana tindakan mereka ini sudah pun saya jangka lebih awal, maka saya sudah pun mempersiapkan barisan pelapis-pelapis baru yang akan mengisi peranan tersebut sejurus tindakan keluar parti ini berlaku,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Timbalan Ketua AMK Titiwangsa, Amirol Hanif Zainol untuk segera mengambil alih tugas dan menyusun semula gerak kerja sayap berkenaan.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua bekas pemimpin cabang itu atas sumbangan mereka sepanjang bersama PKR dan mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan.
BACA JUGA Saman RM10 juta: Kamil pertahan gesaan siasat Mandiri