Saman RM10 juta: Kamil pertahan gesaan siasat Mandiri
Kamil Munim mempertahankan gesaannya menuntut pihak berkuasa menyiasat dakwaan mengenai sebuah pertubuhan menerima dana asing bagi menggerakkan kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kestabilan negara.
Ketua Pemuda PKR itu berkata, langkah menyiasat dakwaan tersebut adalah lebih wajar berbanding hanya membiarkan ia terus tular dalam talian tanpa sebarang siasatan mahupun tindakan diambil.
Beliau berpendapat bahawa Ketua Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi mungkin terpengaruh dengan pihak tertentu yang sengaja memutarbelitkan kenyataan awalnya.
“Saya tidak pasti adakah mereka benar-benar meneliti secara waras dan adil keseluruhan kenyataan tersebut atau ada pihak tertentu yang mempengaruhi mereka dengan memutarbelitkan kenyataan tersebut dan berselindung di sebalik istilah ‘pertubuhan masyarakat sivil’ bagi mengalih perhatian terhadap dakwaan yang sedang berlegar ini?” soalnya, lapor Bernama.
Sebelum ini, Kamil mendesak pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan dana asing disalurkan kepada ahli politik, individu dan pertubuhan tertentu bagi menggerakkan kegiatan politik yang berpotensi menggugat keselamatan dan kestabilan negara.
Menurutnya, dana itu dikaitkan dengan pelbagai gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta penganjuran protes jalanan yang berniat mencetuskan sentimen antikerajaan bertopengkan agenda demokrasi dan hak asasi manusia.
Desakan tersebut timbul susulan laporan polis berhubung sebuah video tular yang mendakwa dana asing bernilai lebih RM1.5 juta telah disalurkan oleh sebuah kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Tides Foundation, kepada NGO Mandiri.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, beliau sama sekali tidak pernah mengesyorkan agar pihak berkuasa secara semberono menyerbu NGO yang menerima dana luar.
Beliau berkata, PKR sentiasa mengiktiraf peranan pertubuhan masyarakat sivil dalam memacu agenda reformasi memandangkan parti itu bermula sebagai sebuah wadah politik yang didukung gerakan massa dan pertubuhan masyarakat sivil yang kekal teguh dengan prinsip perjuangan reformasi.
“Kita tidak pernah menafikan sumbangan dan jasa pertubuhan masyarakat sivil dalam usaha mengangkat kesedaran dan menyubur kefahaman demokrasi dalam negara seterusnya mendukung agenda reformasi,” ujarnya.
Namun, tegas Kamil, sebarang dakwaan yang menyentuh soal keselamatan dan ketenteraman negara wajar disiasat.
BACA JUGA Bila Pas memaafkan Pas, tiada siapa ditanam di jirat Cina?