Projek rel Gemas-JB: Jangan ‘claim’ macam projek sendiri, Persekutuan yang bantu kerajaan BN Johor 

Pelaksanaan Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) wajar dilihat sebagai bukti jelas bagaimana kerajaan Persekutuan di bawah kerangka Madani berjaya menterjemahkan pembangunan infrastruktur kepada manfaat langsung rakyat. 

Namun dalam masa sama, ia membuka ruang kepada perbahasan politik yang lebih jujur, siapa sebenarnya yang membawa impak kepada rakyat Johor hari ini.

Dari sudut praktikal, penyambungan perkhidmatan ETS3 KL Sentral–JB Sentral memberi nilai tambah yang ketara kepada mobiliti rakyat. 

Kini, perjalanan Johor Bahru ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa sekitar empat jam setengah, jauh lebih efisien berbanding perjalanan darat yang boleh mencecah tujuh jam. 

Ini bukan sekadar soal masa, tetapi berkait rapat dengan produktiviti, kos perjalanan dan kualiti hidup.

Berdasarkan maklumat terkini, perkhidmatan ETS selatan kini diperluas dengan kekerapan berikut:

* JB ke Gemas hari bekerja 2 trip sehari dan hujung minggu 4 trip sehari

* JB ke KL Sentral 8 trip sehari

* JB ke Padang Besar 4 trip sehari

* JB ke Butterworth 2 trip sehari

* Segamat ke Butterworth 2 trip sehari

Data ini menunjukkan satu jaringan rel yang semakin matang, menghubungkan selatan hingga ke utara Semenanjung secara lebih tersusun. 

Secara strategik, ia memperkukuh integrasi ekonomi antara negeri dan membuka peluang pertumbuhan baharu di bandar-bandar seperti Kluang, Segamat dan Kulai.

Walaupun Johor ditadbir kerajaan negeri di bawah Umno-BN, adalah tidak tepat untuk mana-mana pihak mendabik dada seolah-olah projek ini lahir daripada usaha unilateral mereka. 

Realitinya, PLBEGJB adalah projek berskala nasional yang digerakkan oleh dasar dan pembiayaan kerajaan Persekutuan merentasi beberapa pentadbiran, dan akhirnya disempurnakan dalam era Anwar Ibrahim.

Maka, naratif yang lebih seimbang perlu diketengahkan. Rakyat Johor hari ini menikmati hasil pembangunan yang bersifat kolektif, bukan eksklusif kepada mana-mana kerajaan negeri. 

Keutamaan seharusnya diberikan kepada keberkesanan pelaksanaan dan manfaat jangka panjang, bukannya perebutan kredit politik.

BACA JUGA Anak bekas MB Perlis lepas, bebas dakwaan buat tuntutan palsu minuman Raja Perlis