Rakyat yang dah lulus STR pun tak dapat?-AMK Tebrau persoal Bantuan Kasih Johor
Ketua AMK Tebrau, Jalex Lee menggesa kerajaan negeri Johor tampil memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung kriteria penerima Bantuan Kasih Johor Fasa 4 selepas ramai rakyat didakwa keliru dengan status kelayakan mereka.
Menurut beliau, bermula 15 Mei lalu rakyat Johor sudah boleh membuat semakan secara dalam talian bagi mengetahui sama ada mereka layak menerima bantuan tersebut.
Namun katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada rakyat termasuk golongan yang sebelum ini dimaklumkan layak tetapi akhirnya didapati tidak layak selepas semakan dibuat menggunakan nombor kad pengenalan.
“Kami menerima banyak aduan daripada rakyat, khususnya golongan yang sebelum ini dimaklumkan layak, tetapi apabila membuat semakan mereka didapati tidak layak menerima Bantuan Kasih Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu lebih proaktif dalam menjelaskan syarat kelayakan supaya rakyat tidak terkeliru dengan pengumuman yang dibuat.
Menurutnya, sebelum ini Menteri Besar Johor memaklumkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori warga emas layak menerima Bantuan Kasih Johor.
Bagaimanapun katanya, terdapat penerima STR sendiri yang tampil membuat semakan tetapi didapati tidak layak menerima bantuan berkenaan.
“Perkara ini telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
Jalex turut menyeru kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas supaya rakyat dapat memahami syarat sebenar kelayakan bantuan tersebut.
Isu Bantuan Kasih Johor Fasa 4 kini menjadi perhatian ramai susulan peningkatan semakan dalam talian oleh rakyat negeri itu sejak ia dibuka minggu lalu.
BACA JUGA Gadai emas kini dalam talian di Bank Rakyat