Ustaz Kazim sanggah Nik Zawawi kononnya Saidina Abu Bakar bapa ceti

Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias menegur kenyataan yang menyimpang daripada seorang ahli politik Pas, berhubung peranan Saidina Abu Bakar sebelum memeluk Islam.

Dalam ceramahnya, Ustaz Kazim menjelaskan bahawa pada zaman jahiliah, terdapat 10 pemimpin Arab yang memegang jawatan dan tanggungjawab tertentu dalam masyarakat Mekah. 

Namun beliau menegaskan, jawatan tersebut tidak semestinya membawa konotasi negatif dan perlu difahami dalam konteks yang betul.

“Yang cakap Saidina Abu Bakar tu bapa ceti, semak balik. Ada 10 pemimpin Arab yang menjadi ketua kepada Arab jahiliah pada masa itu 

“Tapi bukan maknanya mereka itu jahat. Kena faham betul-betul. Tugasan Saidina Abu Bakar, dia adalah ketua di bahagian diyat,” jelas Ustaz Kazim.

Beliau menerangkan bahawa diyat adalah bayaran pampasan yang wajib dibayar oleh seseorang yang telah membunuh orang lain kepada keluarga si mangsa. 

Sekiranya si pesalah enggan membayar, Abu Bakar dilantik untuk mendapatkan bayaran tersebut dan menyerahkannya kepada waris mangsa.

Ustaz Kazim berkata, antara sebab Abu Bakar dipilih untuk peranan itu adalah kerana beliau amat dihormati oleh seluruh penduduk Mekah. 

Dengan kehadirannya sahaja, si penghutang akan akur dan melunaskan diyat mereka.

“Seluruh orang di Mekah hormat dia. Kalau Abu Bakar datang, habislah. Tuan-tuan ingat senang ke nak bayar diyat? Dia perlukan orang (berani). Bukannya bermakna dia ceti kutip hutang. Tak tuan-tuan.

“Tolonglah. Siapa pun, kalau saya salah, saya salah. Tuan-tuan tegurlah saya,” katanya sambil meminta semua pihak berhati-hati dalam menyampaikan maklumat berkaitan sejarah Islam, serta bersikap terbuka untuk ditegur sekiranya tersilap.

Sebelum ini Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi teruk dikecam selepas menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain Nik Zawawi mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

BACA JUGA Projek rel Gemas-JB: Jangan ‘claim’ macam projek sendiri, Persekutuan yang bantu kerajaan BN JohorÂ