Bila ‘otak parti’ percaya parti tak mampu hidup tanpa dirinya
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Dalam politik demokrasi, kalah dan menang adalah lumrah. Mereka yang benar-benar percaya kepada reformasi akan mempertahankan prinsip demokrasi bukan hanya ketika menang, tetapi lebih-lebih lagi ketika kalah atau tidak lagi mendapat tempat kepimpinan.
Namun apa yang sedang dipertontonkan mutakhir ini oleh kelompok tertentu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya melibatkan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, memperlihatkan sesuatu yang amat paradoks dalam budaya politik reformasi yang mereka sendiri pernah laungkan selama lebih dua dekad.
Kritikan demi kritikan, sindiran demi sindiran, kenyataan demi kenyataan yang muncul selepas kekalahan dalam pemilihan parti menimbulkan persoalan besar dalam kalangan akar umbi dan pemerhati politik:
Apakah reformasi itu benar-benar perjuangan prinsip, atau sekadar wadah selama mana seseorang itu berada di puncak kuasa?
Realitinya, semakin banyak kenyataan yang dikeluarkan pasca pemilihan memperlihatkan nada kecewa yang bukan lagi bersifat konstruktif, tetapi cenderung menjadi tekanan politik terbuka terhadap parti dan kepimpinan parti yang tidak sealiran.
Ia bukan lagi kelihatan seperti proses muhasabah demokratik, sebaliknya mula menyerupai sikap “jika idea saya tidak diterima, maka sistem itu salah”. Inilah bahaya terbesar elitisme politik dalam gerakan reformasi.
Lebih ironik, individu-individu yang selama ini menuntut demokrasi dalaman, keterbukaan dan hak ahli untuk memilih, kini kelihatan sukar menerima keputusan ahli apabila keputusan itu tidak memihak kepada mereka.
Sedangkan dalam mana-mana organisasi demokratik, mandat akar umbi adalah keputusan tertinggi.
Jika demokrasi hanya dianggap sah ketika seseorang menang, maka itu bukan reformasi — itu kultus personaliti yang berselindung di sebalik slogan idealisme.
Perang persepsi
Hakikatnya, ahli-ahli PKR telah membuat pilihan. Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan keputusan tersebut, proses demokrasi parti tetap berlangsung melalui saluran sah.
Kekalahan bukan lesen untuk melancarkan perang persepsi terhadap parti sendiri secara berterusan.
Apatah lagi ketika Kerajaan Perpaduan sedang berhadapan cabaran ekonomi global, tekanan geopolitik dan usaha pemulihan institusi negara yang memerlukan kestabilan politik.
Di sinilah kelihatan perbezaan antara pejuang institusi dengan politikus berasaskan ego intelektual. Pejuang institusi memahami bahawa parti politik tidak boleh bergerak berdasarkan obsesi seorang individu, walau sepintar mana sekalipun individu itu.
Tetapi politikus yang terlalu lama dipuja sebagai “otak parti” akhirnya mula mempercayai bahawa parti tidak mampu bergerak tanpa dirinya. Sindrom inilah yang sering menghancurkan gerakan politik dari dalam.
Sejarah politik demokrasi dunia penuh dengan contoh sedemikian. Indian National Congress yang suatu ketika dahulu merupakan parti paling dominan di India akhirnya merosot teruk apabila budaya demokrasi dalaman semakin lemah dan elit politik terlalu bergantung kepada pengaruh kelompok tertentu.
Parti yang pernah memimpin perjuangan kemerdekaan bersama Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru akhirnya kehilangan kekuatan akar umbi akibat perebutan kuasa, budaya elit dan perpecahan dalaman.
Ramai tokoh keluar membentuk blok dan parti baharu kerana tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan pusat. Akibatnya, ruang politik itu akhirnya diisi oleh Bharatiya Janata Party yang kini mendominasi India.
Begitu juga dengan Parti Buroh (Labour Party) di Britain. Selepas era Tony Blair, parti itu tenggelam dalam perang ego antara kelompok progresif dan moderat. Ketika era Jeremy Corbyn, ramai pemimpin kanan parti lebih sibuk menyerang sesama sendiri berbanding meyakinkan rakyat.
Setiap kelompok mendakwa merekalah pemilik moral sebenar parti. Akibat budaya saling melemahkan itu, Parti Buruh mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya 2019. Demokrasi tanpa disiplin solidariti akhirnya menjadi medan perang ego intelektual.
Di Jepun pula, Liberal Democratic Party pernah hampir kehilangan dominasi akibat budaya politik faksi dan perebutan pengaruh dalaman yang terlalu kuat.
Ketika elit politik terlalu sibuk membina kem masing-masing dan mempertahankan ego kelompok, rakyat mula melihat parti itu gagal memahami realiti kehidupan sebenar masyarakat.
Kemerosotan keyakinan rakyat akhirnya membuka ruang kepada Democratic Party of Japan mengambil alih kerajaan pada tahun 2009.
Walaupun LDP bangkit semula kemudian, sejarah itu membuktikan bahawa parti besar sekalipun boleh lumpuh apabila pemimpin lebih mengutamakan kelompok sendiri daripada kekuatan institusi.
Ego dan dendam
Amerika Syarikat (AS) juga tidak terkecuali. Konflik antara penyokong Bernie Sanders dan Hillary Clinton dalam Demokrat pada tahun 2016 memperlihatkan bagaimana rasa kecewa terhadap keputusan pemilihan dalaman akhirnya melemahkan keseluruhan parti.
Sebahagian kelompok progresif enggan menerima keputusan parti dan terus menyerang kepimpinan sendiri sehingga membuka ruang besar kepada kemenangan Donald Trump.
Dalam politik demokrasi, musuh terbesar sesebuah parti kadangkala bukan lawan di luar, tetapi ego dan dendam yang gagal dikawal di dalam.
Semua contoh ini membawa satu pengajaran yang sangat jelas — gerakan politik akan rosak apabila individu mula percaya dirinya lebih penting daripada organisasi.
Inilah penyakit politik moden yang paling berbahaya. Apabila seseorang terlalu lama diraikan sebagai tokoh intelektual atau “penyelamat parti”, akhirnya wujud kecenderungan untuk menganggap pandangannya wajib diterima dan sentiasa betul dengan ketidaksetujuan terhadap dirinya dianggap kesalahan moral.
Apa yang lebih membimbangkan ialah cubaan membina naratif seolah-olah parti sudah menyimpang hanya kerana kelompok tertentu tidak lagi mendominasi struktur kuasa.
Naratif ini sangat berbahaya kerana ia merosakkan disiplin jamaah dan solidariti reformasi yang selama ini menjadi asas perjuangan PKR sejak era pemenjaraan Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Gerakan reformasi tidak pernah dibina atas nama satu atau dua individu. Ia dibina atas pengorbanan ribuan ahli biasa yang dipukul, ditahan, hilang pekerjaan dan dihina selama bertahun-tahun.
Ramai daripada mereka kekal setia walaupun tidak pernah mendapat jawatan menteri, kedudukan strategik atau populariti media, dan malah tidak pernah dikenal pun.
Maka amat tidak adil apabila semangat kolektif perjuangan itu kini seolah-olah mahu diketepikan hanya kerana segelintir elit politik gagal mengekalkan kedudukan dalam hierarki parti.
Lebih sinis lagi, kelompok yang dahulunya mengkritik budaya “warlord politik” dalam parti-parti lain kini dilihat semakin menunjukkan kecenderungan yang sama.
Mereka mahu diraikan sebagai suara moral tertinggi parti, tetapi pada masa yang sama sukar menerima bahawa ahli mungkin mempunyai penilaian politik yang berbeza.
Ini memperlihatkan satu bentuk liberal elitism — kononnya mendukung demokrasi, tetapi hanya selesa apabila demokrasi menghasilkan keputusan yang memihak kepada diri sendiri.
Rakyat sudah muak
Dalam konteks semasa, tindakan bermain dengan idea penubuhan parti baharu atau blok politik baharu juga memperlihatkan kegagalan memahami realiti politik Malaysia pasca-2022. Rakyat sebenarnya sudah muak dengan politik perpecahan, politik ego dan politik dendam peribadi.
Rakyat mahukan kestabilan, pemulihan ekonomi dan tadbir urus yang matang. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan retorik “penyelamat baharu” setiap kali ada tokoh kecewa dalam parti.
Tambahan pula, landskap politik Malaysia hari ini sangat berbeza berbanding era awal Reformasi. Ketika itu, musuh utama ialah autoritarianisme politik, nepotisma dan penyalahgunaan institusi negara.
Hari ini cabarannya lebih kompleks — ekonomi global tidak menentu, perang perdagangan, teknologi AI, kos sara hidup dan keperluan reformasi fiskal negara.
Dalam keadaan ini, rakyat menilai kematangan politik, bukannya siapa paling lantang merajuk di media sosial.
Jika benar seseorang itu percaya kepada reformasi institusi, maka jalan terbaik ialah memperkukuh parti dari dalam, menerima teguran akar umbi dan terus berkhidmat walaupun tanpa jawatan tertinggi. Itulah semangat demokrasi sebenar.
Sebaliknya, jika setiap kekalahan dibalas dengan tekanan terbuka, sindiran berpanjangan dan ugutan politik baharu, maka rakyat berhak mempersoalkan: adakah perjuangan itu benar-benar demi rakyat, atau sekadar demi memastikan idea sendiri sentiasa dianggap paling betul?
Akhirnya, politik bukan pentas terapi untuk ego elit yang terluka. Politik adalah amanah rakyat dan perjuangan kolektif.
Mereka yang benar-benar matang dalam perjuangan akan memahami bahawa kesetiaan kepada prinsip lebih penting daripada kesetiaan kepada kedudukan.
Dan dalam mana-mana gerakan reformasi yang tulen, demokrasi bukan sekadar slogan ketika menang — ia juga mesti dihormati ketika kalah.
*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.
BACA JUGA Status PRK di Parlimen Pandan, Setiawangsa terjawab