Status PRK di Parlimen Pandan, Setiawangsa terjawab

Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas kedua-duanya diisytiharkan kosong.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya sudah menerima pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, melalui surat bertarikh hari ini berhubung status kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi terbabit.

“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Terdahulu, Johari memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa susulan peletakan jawatan Ahli Parlimennya berkuat kuasa 18 Mei lalu.

Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi, masing-masing bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Naib Presiden PKR, mengumumkan keluar parti.

Kedua-dua bekas menteri berkenaan mengambil alih parti Bersama yang ditubuhkan pada 2016, seterusnya akan mengosongkan kerusi yang disandang masing-masing.

Susulan itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata parti tersebut menggugurkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi mengikut Fasal 9 (1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada mereka.

BACA JUGA Johari Abdul umum kekosongan dua kerusi Parlimen PKR