BN bertahun perintah di Johor, MADANI juga selesaikan infrastruktur kritikal

ZAHID AMRAN

Pembukaan semula dan penaiktarafan landasan Kempas Baru–Pasir Gudang bukan sekadar projek infrastruktur biasa, tetapi mencerminkan perubahan pendekatan dasar yang lebih proaktif di bawah Kerajaan  MADANI . 

Selama bertahun-tahun, laluan strategik sepanjang 39.9 kilometer ini seolah-olah dipinggirkan walaupun Johor kekal sebagai antara negeri paling penting dari sudut logistik dan perdagangan negara. 

Hakikatnya, ketika Barisan Nasional menguasai kedua-dua peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini, tiada lonjakan signifikan dilakukan untuk memodenkan laluan ini.

Di bawah kepimpinan Menteri Pengangkutan, Antony Loke Siew Fook, barulah kita melihat tindakan konkrit diambil. 

Penaiktarafan menyeluruh yang melibatkan sistem perparitan baharu, penggantian trek dan batu balas, serta peningkatan sistem isyarat dan keselamatan membuktikan wujudnya kesungguhan politik untuk menyelesaikan isu asas yang telah lama tertangguh. 

Ini bukan sekadar “touch-up”, tetapi pembaharuan struktur yang meningkatkan kecekapan keseluruhan rangkaian rel.

Dari sudut impak, peningkatan kekerapan perjalanan kargo daripada 2 kepada 6 trip sehari adalah perubahan yang signifikan. 

Lebih penting, kapasiti pengendalian kontena melonjak tiga kali ganda daripada 140 TEUs kepada 420 TEUs sehari. 

Ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, mengurangkan kesesakan jalan raya, dan meningkatkan daya saing pelabuhan di Johor, khususnya Pelabuhan Pasir Gudang. 

Dalam konteks ekonomi serantau, langkah ini memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab logistik utama yang menyokong pertumbuhan perdagangan Malaysia-Singapura.

Namun, kejayaan ini juga membuka persoalan besar. Mengapa perkara ini tidak dilakukan lebih awal? 

Sedangkan keperluan untuk menaiktaraf laluan ini bukan isu baharu. Kelewatan bertahun-tahun menunjukkan kegagalan perancangan jangka panjang sebelum ini, walaupun sumber dan kuasa politik berada di tangan pihak yang sama dalam tempoh yang lama.

Kesimpulannya, projek ini menjadi contoh jelas bagaimana keberanian politik dan keutamaan dasar boleh mempercepatkan pembangunan yang selama ini terbantut. 

Kerajaan MADANI  bukan sahaja melaksanakan projek, tetapi membetulkan kelemahan lama yang ditinggalkan. 

Dalam erti kata lain, apa yang tidak diselesaikan selama bertahun-tahun kini akhirnya digerakkan dengan hasil yang nyata.

BACA JUGA KKM jawab isu kad denggi bahasa Cina – rekod rasmi kekal guna Bahasa Melayu