Jangan ‘merengek’ ugut keluar kerajaan : AMK cabar Akmal ‘berpencak’ secara terbuka
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi mencabar Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh supaya berhenti bermain politik ugutan dan tampil bertarung secara terbuka jika benar-benar mahu memutuskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Nabil berkata, AMK sudah “penat” mendengar ancaman berulang kali daripada Akmal untuk keluar daripada kerajaan sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, sehingga kini ugutan tersebut hanya tinggal retorik politik tanpa sebarang tindakan konkrit.
“Kalau benar sudah tidak mampu bersama dan merasakan kerjasama ini satu beban, maka tidak perlu terus bermain tarik tali politik.
“Kita lawan sahaja secara terbuka dan habis-habisan di medan demokrasi. Rakyat sendiri akan menilai siapa yang benar-benar ikhlas bekerjasama demi membina negara dan siapa yang gila kuasa,” katanya lapor Suara keadilan.
Kenyataan itu dipercayai sebagai reaksi balas terhadap ucapan Akmal semalam yang menyatakan sudah tiba masanya Umno mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Akmal dilaporkan berkata pendirian itu timbul susulan beberapa kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mahu “menguburkan” Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor akan datang.
Dalam masa sama, beliau turut menyindir PH Johor yang menurutnya mungkin gembira dengan keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN kerana membuka ruang kepada PH menuntut lebih banyak kerusi.
Bagaimanapun, Nabil menyifatkan kenyataan sedemikian hanya mengeruhkan hubungan dalam kerajaan dan menggambarkan seolah-olah ada pihak masih gagal menerima semangat kerjasama yang dibentuk selepas PRU15.
Beliau turut menegaskan rakyat kini lebih menilai kestabilan politik dan keupayaan kerajaan menyelesaikan isu ekonomi berbanding polemik perebutan kuasa antara parti politik.
“Kalau setiap kali menjelang pilihan raya mahu ugut keluar kerajaan, sampai bila politik negara mahu stabil?” katanya lagi.
BACA JUGA Pesawah dapat RM300 terus? Ini penjelasan KPKM bayaran insentif pembajakan