Pesawah dapat RM300 terus? Ini penjelasan KPKM bayaran insentif pembajakan
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tampil menjelaskan kekeliruan berhubung pelaksanaan pembayaran Insentif Pembajakan kepada pesawah selepas timbul laporan yang mengelirukan mengenai kadar bayaran bantuan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan pembayaran yang mula disalurkan secara berperingkat bermula 19 Mei bukanlah terus RM300 sehektar sepenuhnya seperti yang difahami sesetengah pihak.
Sebaliknya, pesawah yang layak akan menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM200 sehektar secara one-off sebelum atau semasa kerja pembajakan dimulakan.
Menurut KPKM, baki RM100 sehektar pula hanya akan dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.
“KPKM ingin menjelaskan bahawa pembayaran yang mula dilaksanakan pada 19 Mei 2026 adalah bayaran pendahuluan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah yang layak,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkata mekanisme pembayaran dua peringkat itu sebenarnya telah dijelaskan lebih awal menerusi siaran media bertarikh 7 Mei lalu.
Menurut kementerian, penjelasan dibuat bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan pesawah dan orang ramai berhubung kaedah pembayaran insentif berkenaan.
KPKM turut menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat dan berharap pelaporan berkaitan bantuan kepada pesawah dapat dibuat secara lebih tepat.
Insentif pembajakan itu merupakan antara langkah kerajaan MADANI bagi membantu mengurangkan beban kos pengeluaran pesawah serta memastikan kelangsungan sektor pengeluaran padi negara.
BACA JUGA BN bertahun perintah di Johor, MADANI juga selesaikan infrastruktur kritikal